X

Kindly register in order to view this article
!

Banjir: TNB beri panduan keselamatan elektrik

A
A

SHAH ALAM - Situasi semasa banjir beberapa negeri di dalam negara telah menyebabkan keselamatan orang ramai terdedah kepada pelbagai jenis risiko.

Pada Selasa, seorang kakitangan bank maut selepas terkena renjatan elektrik di garaj kereta hadapan rumahnya di Kampung Paya Kechik, Temerloh, Pahang.

Difahamkan, mangsa memegang tiang besi di hadapan rumahnya ketika sedang memerhatikan keadaan air hujan dan banjir di halaman rumah.

Ekoran daripada itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengingatkan orang ramai yang berada di kawasan banjir supaya mengamalkan nasihat dan panduan keselamatan elektrik yang dikeluarkan syarikat itu demi keselamatan mereka.

TNB dalam satu kenyataan pada Rabu menyatakan bahawa panduan keselamatan itu merangkumi dua situasi iaitu ketika dan selepas banjir.

Bagi situasi ketika banjir, TNB berkata, orang ramai perlu menghindari sebarang peralatan elektrik dan memastikan suis utama ditutup bagi mengurangkan kemungkinan renjatan elektrik berlaku.

“Hubungi pejabat TNB yang berdekatan, TNB CareLine 15454 atau Facebook TNB Careline sebaik paras air meningkat supaya bekalan elektrik boleh diputuskan segera di kawasan terlibat.

“Jangan menyentuh mana-mana peralatan atau kabel elektrik yang terendam dalam air banjir walaupun ia bersalut dengan penebat dan sebelum berpindah, matikan bekalan masuk utama di papan agihan dengan menutup suis utama.

“Pastikan semua suis di soket alir keluar ditutup dan tanggalkan palam kuasa peralatan elektrik, sekiranya premis dipasang dengan sistem solar PV, matikan sistem tersebut sebelum anda keluar dari rumah bagi mengelakkan bekalan suap balik ke sistem pendawaian rumah anda,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, panduan tersebut juga meminta orang ramai supaya menghindari daripada menyentuh mana-mana tiang besi yang ditenggelami air bagi mengelak risiko terkena renjatan elektrik.

Sementara itu, bagi memastikan keselamatan selepas banjir, panduan tersebut meminta ramai supaya memastikan suis utama pada papan agihan telah ditutup sebelum membersihkan peralatan eletrik.

“Pastikan suis elektrik dan perkakas elektrik yang terendam dalam air banjir diperiksa dan diuji terlebih dahulu oleh kontraktor elektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga sebelum digunakan semula.

“Jangan menyentuh, memotong atau menarik dahan pokok yang jatuh menimpa talian elektrik kerana ia mungkin masih menyalurkan bekalan elektrik. Maklumkan kepada TNB untuk tindakan segera.

“Jangan sekali-kali menggunakan tangga atau galah berhampiran dengan talian elektrik,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, TNB turut mengingatkan ibu bapa supaya mengawasi pergerakan anak-anak mereka supaya tidak menghampiri tiang elektrik yang tumbang dan kabel elektrik yang putus semasa banjir.

“Pengguna juga boleh menghubungi TNB sekiranya ternampak kejanggalan berkaitan pepasangan TNB yang terkesan akibat banjir.

“Bagi sebarang maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dan bekalan elektrik, orang ramai boleh menghubungi talian TNB CareLine di 15454 atau Facebook TNB CareLine,” menurut kenyataan itu.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!