Tiga cadangan perlu dilaksana segera untuk bendung Covid-19

Dr Lee Boon Chye
Dr Lee Boon Chye
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Bon Chye mencadangkan tiga langkah yang perlu dilaksanakan segera bagi mengelakkan penularan pandemik Covid-19 menjadi tidak terkawal.

Beliau berkata, sistem jagaan kesihatan sektor awam kini berada di tahap genting kerana tidak mampu untuk menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat.

Katanya, pasukan kesihatan awam juga menghadapi cabaran dan tidak lagi mampu untuk mengesan, menguji dan mengasingkan kontak rapat yang begitu ramai dengan jangkaan jumlah kes harian yang akan melepasi 3,000 sehari sebelum pertengahan bulan Januari 2021.

Sehubungan itu, katanya, antara cadangan yang dikemukakan beliau adalah penetapan sasaran supaya setiap kontak rapat pesakit Covid-19 dapat dikesan, diuji dan diasingkan dalam tempoh 48 jam.

“Ini akan menyekat penularan virus seterusnya dan mengurangkan jumlah kes harian dan kebolehjangkitan atau R0. Ini boleh dilakukan melalui penambahan 10,000 anggota tambahan (terdiri dari anak muda) dalam kesihatan awam serta merta untuk pengesanan kontak.

“Satu rangkaian pengesanan kontak boleh ditubuhkan dengan kerjasama pemimpin masyarakat seperti ketua-ketua kampung dan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Selain itu, beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Gopeng berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) perlu dihadkan selama dua minggu sahaja.

Jelasnya, penetapan tersebut akan menjadikan PKPD sebagai ‘circuit breaker’ di kawasan tertentu di mana jangkitan komuniti berlaku dan tidak terkawal.

Artikel Berkaitan:

“Bagi pemberian vaksin pula, ia perlu diberikan secara percuma dan sukarela kepada kumpulan sasar sahaja seperti mereka yang berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 dan mereka yang berisiko komplikasi apabila dijangkiti.

“Ini termasuk pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), penguat kuasa seperti polis, tentera, bomba, petugas penjara dan pusat tahanan serta pusat jagaan, guru, warga emas dan mereka yang menghidapi penyakit kronik,” katanya.

Boon Chye berkata, pemberian vaksin oleh doktor swasta pula perlulah diberikan mengikut permintaan yang diterima oleh mereka.

Sementara itu, beliau berkata, penggunaan kaedah imuniti kelompok atau ‘herd immunity’ bagi membendung penularan Covid-19 pada peringkat sekarang adalah satu langkah yang tidak waras dan tidak praktikal.

Pada Rabu, Malaysia merekodkan kes harian Covid-19 tertinggi baharu iaitu sebanyak 2,593 kes dalam tempoh 24 jam lalu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di Malaysia sebanyak 125,438 kes.