X

Kindly register in order to view this article
!

Era baharu rantau Teluk bermula

Qatar diboikot oleh empat negara Arab yang mendakwa negara itu menyokong kumpulan pengganas dan menjalin hubungan rapat dengan Iran sejak Jun 2017. - Foto AFP
A
A

SELEPAS lebih tiga tahun hubungan antara Qatar dengan empat negara Arab terputus sejak Jun 2017 akhirnya Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang bersidang di Arab Saudi pada Selasa lalu mengambil langkah untuk berbaik-baik semula.

Sebelum ini, Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir bertindak memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar berikutan dakwaan Doha menyokong beberapa kumpulan yang dianggapnya pengganas termasuk Ikhwanul Muslimin.

Doha juga didakwa menjalin hubungan rapat dengan Iran yang merupakan musuh kepada Arab Saudi dan Amerika Syarikat (AS).

Ketika itu, menurut portal berita Deutsche Welle, UAE menuduh Qatar menjadikan rantau Teluk tidak stabil apabila menyokong dan menyediakan dana untuk pertubuhan-pertubuhan pengganas manakala Mesir mendakwa ia memberi sokongan kepada kumpulan-kumpulan seperti Ikhwanul Muslimin.

Kumpulan Ikhwanul Muslimin yang memperjuangkan kesedaran tentang Islam ditubuhkan di Mesir pada tahun 1928 dilabelkan sebagai kumpulan pengganas sebelum diharamkan oleh Mesir pada tahun 2013 selepas kebangkitan Arab Spring sebelum Arab Saudi melakukan perkara yang sama pada tahun 2019.

Pergerakan Hamas yang menguasai pentadbiran Gaza dan pernah memenangi pilihan raya Parlimen Paestin pada tahun 2006 dikatakan sebagai salah satu cabang daripada Ikhwanul Muslimin.

Bekas Presiden Mesir, Mohammed Morsi juga telah dicalonkan oleh kumpulan tersebut untuk bertanding dalam pilihan raya Presiden pada tahun 2012 sebelum memenanginya tetapi digulingkan oleh pihak tentera pada Julai 2013 ekoran tunjuk perasaan rakyat yang tidak berpuas hati dalam pelbagai isu sehingga mencetuskan ketidakstabilan politik di negara berkenaan.

Menurut portal berita Guardian, Morsi dihukum penjara 20 tahun kerana menyebabkan kematian para penunjuk perasaan dan hukuman jel seumur hidup kerana menyerahkan rahsia negara kepada Qatar.

Ikhwanul Muslimin pula diharamkan pada 23 September 2013 oleh sebuah mahkamah di Mesir.

Ia dilakukan selepas seorang peguam daripada parti Tagammu yang berhaluan kiri memfailkan kes terhadap Ikhwanul Muslimin dan menuduh kumupulan tersebut sebagai pengganas dan mengeksploitasi agama Islam.

Pada tahun 1950-an, Arab Saudi pernah memberikan perlindungan kepada anggota-anggota kumpulan itu yang berdepan hukuman penjara dan ditindas di Mesir, Syria dan tempat-tempat lain sebelum pengaruh Ikhwanul Muslimin menjadi kuat di negara beraja itu.

Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman (kanan) menyambut Emir Qatar, Sheikh Tamin Hamad Al Thani selepas beliau tiba untuk menghadiri sidang kemuncak Majlis Kerjasama Teluk di Arab Saudi pada 5 Januari lalu. - Foto AFP
Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman (kanan) menyambut Emir Qatar, Sheikh Tamin Hamad Al Thani selepas beliau tiba untuk menghadiri sidang kemuncak Majlis Kerjasama Teluk di Arab Saudi pada 5 Januari lalu. - Foto AFP

Kumpulan itu juga mengkritik kehadiran tentera Amerika Syarikat (AS) di Arab Saudi berikutan Washington mengetuai satu perikatan tentera menceroboh Iraq pada tahun 2003 atas alasan mencari senjata pemusnah besar-besaran manakala sekutu-sekutu Ikhwanul Muslimin didakwa mahu pembaharuan politik yang radikal di negara beraja tersebut mengakibatkan hubungannya dengan Riyadh terjejas.

Keputusan untuk memutuskan hubungan itu menyebabkan duta Qatar di Mesir diberikan tempoh selama 48 jam untuk pulang ke negaranya dan mengarahkan wakilnya di Doha kemballi ke tanah air.

Bahrain juga mengarahkan para diplomat Qatar kembali ke negaranya dalam tempoh dua hari manakala Arab Saudi menutup sempadan dan memutuskan hubungan udara serta laut dengan Doha atas alasan mahu melindungi tanah airnya daripada bahaya keganasan dan ektrimis.

Negara-negara anggota GCC terdiri daripada Arab Saudi, UAE, Bahrain, Kuwait, Oman dan Qatar.

Perbalahan itu sebelum ini turut melibatkan sukan apabila UAE menjadi tuan rumah kejohanan Piala Asia dengan Qatar menjadi juara dan mengalahkan Jepun.

Namun, para penyokong Qatar dilarang memasuki UAE manakala seorang warga British yang memakai baju bola sepak Qatar ditahan pihak berkuasa negara tersebut.

Bagaimanapun Arab Saudi, UAE dan Bahrain kemudian mengambil keputusan untuk tidak memboikot sukan bola sepak bagi merebut Piala Arab di Qatar pada tahun 2019.

Namun, pada Disember 2019, Emir Qatar, Sheikh Tamin Hamad Al Thani menolak undangan untuk menghadiri sidang kemuncak GCC di Riyadh tetapi menghantar Perdana Menteri negaranya ketika itu, Abdullah Nasser Khalifa Al-Thani.

Sebelum ini, ketika krisis tersebut berlaku, Qatar enggan tunduk terhadap 13 tuntutan daripada empat negara Arab tersebut antaranya menutup stesen televisyen Al-Jazeera dan sebuah pangkalan tentera Turki.

AS juga sebelum ini memainkan peranan supaya empat negara itu memulihkan hubungan dengan Qatar atas alasan anggota-anggota rantau Teluk perlu bersatu menghadapi musuh Amerika iaitu Iran yang sedang menghadapi isu mengenai program nuklear dan peluru berpandu balistiknya.

Ironinya, Qatar juga menjadi pangakalan tentera udara terbesar AS di rantau Teluk dan amat penting bagi menghadapi perang menentang kumpulan Islamic State (IS).

Pangkalan Udara Al Udeid di Qatar menempatkan pesawat-pesawat Amerika Syarikat menyebabkan ia penting dari segi keselamatan bagi menghadapi ancaman kumpulan Islamic State. - Foto AFP
Pangkalan Udara Al Udeid di Qatar menempatkan pesawat-pesawat Amerika Syarikat menyebabkan ia penting dari segi keselamatan bagi menghadapi ancaman kumpulan Islamic State. - Foto AFP

Walaupun desas-desus hubungan dengan Qatar itu akan dipulihkan sebelum ini, seorang penganalisis politik Qatar, Jaber Al-Harami ketika bercakap kepada portal berita Anadolu Agency berkata: "Perubahan serantau dan cabaran Arab Saudi di Yaman, Iraq serta Syria,

hubungan dengan Iran selain tekanan ekonomi negara beraja tersebut telah mencipta usaha politik yang serius bagi menamatkan krisis berkenaan."

Akhbar-akhbar di rantau Teluk antaranya, Al-Riyadh di Arab Saudi menggambarkan sidang kemuncak GCC sebagai 'era baharu' bagi penyelesaian krisis dan manakala akhbar Peninsula Qatar memuji usaha menyelesaikan krisis di rantau tersebut. - Agensi


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!