‘Annuar dipecat bukan kerana Anwar, DAP tapi cenderung Bersatu’

Tangkap layar hantaran di Facebook Isham Jalil pada Rabu.
Tangkap layar hantaran di Facebook Isham Jalil pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Dakwaan Tan Sri Annuar Musa yang mengatakan beliau dipecat kerana tidak bersetuju dengan beberapa pemimpin UMNO termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mahu bekerjasama dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP adalah tidak benar.

Sebaliknya menurut Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil, tindakan tersebut diambil adalah kerana kecenderungan Annuar kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu parti yang ditolak akar umbi UMNO.

“Rata-rata bukan sahaja majoriti tetapi lebih dua pertiga akar umbi UMNO yang telah bermesyuarat di peringkat bahagian mewakili cawangan-cawangan di seluruh negara telah membuat keputusan menolak kerjasama dengan Bersatu.

“Akar umbi UMNO tidak mahu ada pemimpin atau setiausaha yang ingin ‘menjual’ UMNO kepada Bersatu,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Rabu.

Isham berkata, Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN tidak boleh memiliki seorang setiausaha yang mana kecenderungan dan kenyataannya bercanggah dengan kemahuan akar umbi.

“Sebab itu beliau (Annuar) diganti,” katanya.

Pada Rabu, Annuar pada sidang akhbar yang diadakan mengesahkan UMNO kini bersiap untuk bekerjasama dengan DAP untuk membentuk kerajaan baharu.

Beliau turut mendedahkan surat dikeluarkan oleh pemimpin tertinggi UMNO yang menyatakan sokongan terhadap Anwar yang juga merupakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah tulen.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Ahli Parlimen Ketereh itu turut memaklumkan pendiriannya untuk tidak bersubahat dengan Ahmad Zahid selepas mendapati terdapat gerakan yang tidak selari dengan keputusan rasmi Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Mengulas mengenai khabar angin yang mengatakan terdapatnya kerjasama antara UMNO, Anwar dan DAP, Isham berkata, perkara itu merupakan isu lama yang tidak lagi relevan pada masa sekarang.

“Dalam politik, tiga bulan lepas lamanya seolah sama dengan tiga dekad lalu. Jika Annuar Musa tahu surat itu tulen seperti didakwa, maka mengapa beliau tidak bangkitkan ketidakpersetujuan beliau kepada presiden pada ketika itu?

“Dan jika telah dibangkitkan dan Presiden UMNO mahu memecat beliau (Annuar) oleh sebab ini, maka Annuar telah pun dipecat tiga bulan lepas dan bukannya sekarang,” katanya.

Jelasnya, Ahmad Zahid juga telah berulang kali dengan secara terang-terangan membuat kenyataan yang memaklumkan bahawa UMNO tidak akan bekerjasama dengan DAP.

SEBAB ANNUAR MUSA DIGANTI Saya baru lihat sidang akhbar sahabat saya Tan Sri Annuar Musa sebentar tadi. Secara ringkas...

Posted by Isham Jalil on Wednesday, January 6, 2021