X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 04 Disember 2021

PRU ketika Covid-19 tindakan tak bertanggungjawab: Khairy

Tangkap layar ciapan Twitter Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada Rabu.
A
A

SHAH ALAM - Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan pihak yang ingin melakukan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika negara masih dilanda Covid-19 adalah tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, beliau maklum akan permintaan tersebut yang mana turut datang daripada kalangan partinya sendiri dan meminta mereka supaya tidak mementingkan diri sendiri.

“Mereka yang menginginkan PRU sebelum wabak itu dikendalikan tidak bertanggungjawab. Dan saya tahu antara yang meminta PRU segera adalah mereka dari parti saya sendiri. Jangan mementingkan diri sendiri,” katanya menerusi ciapan di Twitternya pada Rabu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata demikian sebagai membalas ciapan daripada akaun Twitter wartawan, Boo Su-Lyn yang menyatakan pandangannya berkenaan dengan kesan buruk sekiranya PRU diadakan pada tahun ini.

Pada ciapan tersebut, Su-Lyn berkata, negara perlu menunggu sekurang-kurangnya sehingga majoriti rakyat mendapat vaksin sebelum boleh mengadakan PRU.

“PRU tahun ini akan menjadi bencana. Kami belum mendapat vaksin. Sekurang-kurangnya tunggu sehingga majoriti penduduk diimunisasi dan kemudian anda boleh mengadakan PRU.

“Jika tidak, kes Covid-19 Malaysia mungkin melebihi unjuran harian 5,000 oleh IHME (Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan (IHME) mulai akhir Februari,” katanya.

Turut bersetuju dengan Khairy Jamaluddin dan Su-Lyn ialah blok pembangkang yang menyatakan penolakan mereka terhadap gesaan untuk mengadakan PRU15 dalam masa terdekat.

Pada Ahad, UMNO melalui Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendesak agar PRU15 diadakan secepat mungkin bagi mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.

Menurut Ahmad Zahid, perlaksanaan PRU boleh dilakukan dengan cara memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) baharu.

Desakan itu turut disambut oleh Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob mencadangkan UMNO supaya menarik diri daripada terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekiranya PRU15 tidak dilaksanakan dalam tempoh suku tahun pertama tahun ini.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Rabu memaklumkan PRU15 boleh dilaksanakan sekiranya semua pihak memberi kerjasama mematuhi normal baharu dan Garis Panduan Pencegahan Covid-19 meskipun negara masih bergelut dengan pandemik itu.

Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan polis untuk sebarang pelaksanaan kawalan selaras dengan arahan terkini di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!