Santai walau rumah berlumpur

Keadaan rumah Faris selepas dilanda banjir lumpur.
Keadaan rumah Faris selepas dilanda banjir lumpur.
A
A
A

SKUDAI - Hujan lebat sejak 1 Januari lalu menyebabkan beberapa kawasan di negeri ini dilanda banjir.

Keadaan itu bertambah buruk selepas air pasang besar turun melanda Johor menyebabkan air naik sehingga ke paras bumbung rumah.

Bagaimanapun, kedukaan itu disambut dengan suasana 'gembira' buat seorang pelayar Twitter, Muhamad Faris Sulaiman, 24, meskipun rumahnya di Kampung Laut Batu 10 di sini dilanda banjir lumpur hingga ke paras bumbung.

Walaupun keadaan rumah musnah termasuk barangan perabot rosak teruk diselaputi lumpur, anak pertama dari dua beradik ini reda dengan ketentuan.

Faris yang memuat naik dua keping gambar di Twitter menarik perhatian ramai berikutan gaya dirinya bersantai di tepi jalan sambil duduk melihat komputer riba yang mempunyai kesan kotoran air lumpur seolah-olah memberi gambaran tiada sebarang bencana berlaku di kawasan tersebut.

Dengan kapsyen "Bosan argh, work from home dekat rumah tepu gila otak tak mengembang. Ambil angin luar kejap best ke okey," ciapnya pantas mencuri perhatian netizen.

Gambar itu juga memaparkan keadaan persekitaran rumah dan perkakas rumah diselaputi lumpu,r malah dirinya juga basah dek terkena air hujan.

Artikel Berkaitan:

Faris bersama ahli keluarganya.
Faris bersama ahli keluarganya.

Faris merupakan peniaga char kuey teow juga memuat naik gambar motosikal miliknya yang rosak akibat banjir yang disifatkan paling buruk dalam sejarah 14 tahun.

"Banjir ini memang paling teruk kerana air sungai berhampiran melimpah hingga ke paras bumbung.

"Kejadian ini berlaku pada tengah hari Jumaat. Selepas air surut sekitar jam 12 tengah malam, saya bersama adik perempuan dan kedua ibu bapa pulang ke rumah untuk kerja-kerja pembersihan.

"Namun sejurus selesai membersihkan rumah, hujan lebat sekali lagi hingga air naik semula dan terus menenggelamkan rumah kami," katanya kerugian dianggarkan lebih RM5,000.

Berbalik kepada postingnya yang tular, kata Faris, dia tidak menyangka gambar itu berjaya menarik perhatian ribuan netizen kerana ia sekadar menghiburkan hatinya tatkala ditimpa bencana.

"Perasaan memang gembira. Niat sekadar nak hiburkan hati dan buat kenangan. Tak sangka pula viral sebegini," ujarnya perlu mengambil masa kira-kira dua minggu untuk kerja pembersihan rumah.

Sehingga Selasa, ciapan Faris meraih lebih 37,600 tanda suka dan lebih 21,000 ciapan serta 1,600 komen.