X

Kindly register in order to view this article
!

Agong, Raja Permaisuri ziarah mangsa banjir di Maran

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Hajah Azizah berkenan meluangkan masa menyantuni mangsa dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir ketika melawat PPS SMK Maran 1, Maran pada Selasa. - Foto Bernama
A
A

MARAN - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menziarahi mangsa banjir di pusat permindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Maran 1, di sini pada Selasa.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan anakanda Tengku Panglima Muda, Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua pada 12 tengah hari disambut Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdi Wan Ismail.

Bertitah selepas mendengar sembah taklimat situasi banjir di daerah itu, Al-Sultan Abdullah menasihati semua mangsa di pusat pemindahan banjir agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mengekang penularan Covid-19 bagi mengelakkan wabak tersebut merebak di pusat pemindahan.

Al-Sultan Abdullah berkenan meluangkan masa menyantuni mangsa dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir ketika melawat di PPS SMK Maran 1, Maran pada Selasa. -  Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan meluangkan masa menyantuni mangsa dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir ketika melawat di PPS SMK Maran 1, Maran pada Selasa. - Foto Bernama

"Saya nak menasihatkan, walaupun keadaan kita susah (banjir), ini adalah dugaan dan saya bimbang kalau kita tidak patuh SOP mungkin akan jadi bebanan (jika berlaku penularan) kepada kita semua.

"Dalam keadaan banjir ini, khususnya di pusat pemindahan, semua harus patuhi SOP. Saya doakan keadaan di sini terus pulih," titah Seri Paduka Baginda.

Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus menguruskan bencana alam itu.

Seri Paduka Baginda berdua berkenan mencemar duli menyantuni mangsa di pusat pemindahan itu dan mengurniakan sumbangan kepada mereka.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda yang memandu sendiri bersama konvoi Istana Negara ketika dalam perjalanan ke pusat pemindahan berkenaan turut meredah laluan di KM113 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) yang masih ditenggelami banjir.

Hari ini Seri Paduka berdua dijadualkan menziarahi mangsa banjir di beberapa pusat pemindahan di daerah ini.

Setakat 12 tengah hari tadi, sebanyak 252 PPS dibuka di seluruh Pahang melibatkan 18,579 mangsa daripada 4,814 keluarga. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!