Pembatalan HSR cerminkan kelemahan kerajaan

Mohamed Khaled Nordin
Mohamed Khaled Nordin
A
A
A

SHAH ALAM - Pembatalan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura mencerminkan kelemahan kerajaan dalam pentadbiran serta keupayaan membuat keputusan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Malaysia kini hilang peluang keemasan untuk merapatkan lagi hubungan antara kedua-dua bandar metropolis yang merupakan antara enjin ekonomi utama Asia Tenggara.

Menurutnya, kerajaan juga dilihat tidak dapat membuat keputusan yang tegas dan konsisten berhubung integrasi ekonomi rentas sempadan kedua-dua negara, malah memaparkan pendirian yang ‘flip flop’.

"Kerajaan Perikatan Nasional (PN) memaparkan komitmen dan kesungguhan yang sentiasa berubah-ubah dan saling bercanggah sama seperti kerajaan Pakatan Harapan (PH).

ARTIKEL BERKAITAN: Jumlah pampasan batal projek HSR tidak boleh didedahkan

[DIKEMASKINI] Projek kereta api laju HSR batal

Batal HSR: Pemuda UMNO minta penjelasan kerajaan

"Buktinya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini telah mengumumkan strategi Malaysia untuk meneruskan projek mega seperti projek HSR dalam usaha merancakkan ekonomi negara yang terjejas akibat Covid-19. Namun perkara sebaliknya telah berlaku," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Mohamed Khaled yang juga bekas Menteri Besar Johor berkata, kerajaan dilihat tidak tahu apa yang sebenarnya ingin dimanfaatkan daripada kerjasama serantau dengan Singapura.

Akibat tindakan tidak konsisten itu, katanya, projek HSR yang mendatangkan pelbagai manfaat ekonomi menjadi mangsa ketidakpastian.

"Kerajaan PN kurang memahami analisis kos-faedah jangka masa panjang projek HSR yang mana peningkatan kesalinghubungan antara Malaysia dan Singapura akan menghasilkan manfaat berlimpahan dari segi pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan, persekitaran perniagaan, daya tarikan pelaburan serta lonjakan pelancongan yang melangkaui kos bagi infrastruktur tersebut.

"Selain pembangunan sosioekonomi di bandar sepanjang jajaran projek HSR, projek ini yang diilhamkan dalam Program Transformasi Ekonomi akan melonjakkan usaha merancakkan pertumbuhan Wilayah Selatan Negara untuk transformasi Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi.

"Malah, analisis simulasi penyelidik Institute of Developing Economies daripada Jepun mendedahkan kesan ekonomi HSR untuk Malaysia dalam gabungan dasar terbaik adalah AS$1.589 bilion (RM6.38 bilion) setiap tahun menjelang tahun 2030 iaitu hampir 2.5 kali

ganda kesan ekonomi terhadap Singapura," katanya.

Beliau turut mempersoalkan mengapa projek ‘game changer’ yang sepatutnya memartabatkan ekonomi Malaysia dipolitikkan dan cuba diubah-ubah sehingga akhirnya dibatalkan.

"Adakah projek infrastruktur lain yang mendatangkan pelbagai limpahan faedah kepada rakyat Malaysia akan menanggung nasib yang serupa dalam tangan kerajaan PN?," katanya.