Mas Ermieyati hasrat pertahan kerusi Masjid Tanah

Mas Ermieyati -Foto Bernama
Mas Ermieyati -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mas Ermieyati Samsudin hari ini menyuarakan hasrat untuk mempertahankan kerusi Parlimen Masjid Tanah, Melaka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Saya sudah komited dengan Masjid Tanah dan apa jua alasan atau apa yang terjadi, saya secara peribadi bersedia mempertahankan kerusi Masjid Tanah,” katanya ketika ditemui media selepas majlis amanat Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan pelancaran hala tuju 2021 MEDAC, di sini.

Mas Ermieyati memenangi kerusi berkenaan atas tiket Barisan Nasional (BN) pada PRU14. Beliau menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 13 Disember 2018, selepas keluar UMNO pada 1 Julai, dan kini beliau adalah Ketua Bersatu Bahagian Masjid Tanah.

Kenyataannya itu adalah susulan kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang menyatakan UMNO Melaka bertekad mempertahankan semua kerusi yang dimenanginya semasa PRU14 pada PRU15 akan datang.

Selain Masjid Tanah, kerusi Parlimen di Melaka yang dimenangi BN menerusi UMNO pada PRU14 ialah Jasin.

Ditanya sama ada pendirian peribadinya untuk mempertahankan kerusi itu dimaklumkan kepada pucuk pimpinan Bersatu, Mas Ermieyati berkata beliau masih menunggu respon pucuk pimpinan terutama daripada presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Bernama

Artikel Berkaitan: