UMNO desak segerakan PRU15

Ahmad Zahid memberi ucapan ketika Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian dan Sayap UMNO Bahagian Bagan Datuk 2020 di Kompleks Umno Bagan Datuk hari ini. - Foto Bernama
Ahmad Zahid memberi ucapan ketika Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian dan Sayap UMNO Bahagian Bagan Datuk 2020 di Kompleks Umno Bagan Datuk hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

BAGAN DATUK - UMNO mendesak agar Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan secepat mungkin bagi mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, lebih 30 negara di dunia sudah mengadakan pilihan raya dalam keadaan mereka berdepan penularan Covid-19.

Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) baharu boleh digunakan bagi melaksanakan PRU15 dalam tempoh berkenaan.

"Kita menunggu agar mandat rakyat segera dikembalikan. Rakyat rindu UMNO dan Barisan Nasional (BN) kembali untuk menjadi kerajaan semula. Kita mempunyai trek rekod dan sejarah panjang memerintah negara. Semua golongan rakyat diberikan kepedulian.

"Saya khuatir bukan sebab takut Covid-19 untuk adakan pilihan raya tetapi takut perkara lain," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk di Dewan Perdana Kompleks UMNO Bahagian Bagan Datuk di sini pada Ahad.

Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian dan Sayap UMNO Bahagian Bagan Datuk 2020 di Kompleks Umno Bagan Datuk hari ini. - Foto Bernama
Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian dan Sayap UMNO Bahagian Bagan Datuk 2020 di Kompleks Umno Bagan Datuk hari ini. - Foto Bernama

Menjelaskan perkara itu kepada pemberita, Ahmad Zahid berkata, gesaan itu dibuat setelah melihat kedudukan kerajaan yang amat rapuh.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan negara berada dalam keadaan kerugian apabila tiada Pelaburan Asing Terus (FDI) yang masuk ke negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Terdapat pelabur yang menarik pelaburannya ke negara-negara lain. Mereka tentu mencari negara yang stabil politiknya bagi mendapatkan jaminan terhadap pelaburan mereka kerana menganggap kerajaan kita tidak stabil.

"Maka kita mesti menyerahkan semula mandat kepada rakyat untuk menjadikan kerajaan ini stabil. Tentunya ada risiko Covid-19 tetapi tetapi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mesti mempunyai cadangan SOP mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk diikuti oleh para pengundi sepanjang kempen dan pembuangan undi," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut meminta semua ahli dan pimpinan UMNO di semua peringkat bersedia dengan beranggapan seolah-olah Parlimen akan dibubarkan esok.

Malah, beliau turut mengulangi pendirian UMNO untuk bertanding dengan hanya menggunakan logo sendiri pada PRU15 nanti, selain memaklumkan bahawa Majlis Tertinggi (MT) memutuskan semua kerusi yang dimenangi pada PRU14 adalah hak parti itu.