Dunia dakwah berdepan pelbagai cabaran: Zulkifli

Zulkifli berkongsi foto bersama golongan pendakwah yang dimuat naik di Facebook beliau pada Ahad.
Zulkifli berkongsi foto bersama golongan pendakwah yang dimuat naik di Facebook beliau pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Golongan pendakwah perlu sedar bahawa hakikat dunia dakwah tidak sekadar apa yang dizahirkan di Instagram, Facebook, Twitter atau TikTok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, realiti dunia dakwah perlu berdepan dengan berbagai halangan dalam menuju ke jalan yang diredai ALLAH SWT.

“Realiti di luar sana jauh lebih berat dengan seribu satu cabaran yang menanti.

“Populariti, kemasyhuran dan pujian hanya nikmat sementara yang amat ditakuti para salafussoleh,” katanya menerusi siaran Facebook beliau pada Ahad.

Zulkifli sebelum itu menerima kunjungan pendakwah daripada rancangan realiti TV Imam Muda (IM), Pencetus Ummah (PU) dan Dai Milennia.

Turut hadir dalam perjumpaan tersebut ialah IM Asyraf, IM Hizbur, IM Hassan, IM Fakhrul, PU Riz, PU Salman, PU Hafiz, PU Rahmat, PU Amin, PU Akram, PU Syed, Dai Fuad, Dai Aiman, Dai Hazman, Dai Afiqah dan Dai Wan.

Sementara itu, Zulkifli turut mengucapkan tahniah kepada pendakwah-pendakwah yang berjaya melanjutkan pengajian ke menara gading.

“Tahniah kepada barisan pendakwah yang sedang menyambung pengajian peringkat sarjana dan PhD, jua yang telah memilikinya. Itu adalah sejuzuk tanda komitmen anda kepada ilmu,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Zulkifli berkata, beliau mahu tahun ini menjadi tahun para pendakwah menjadi contoh ilmuan yang bijaksana.

“Tahun 2021 kita mulakan buku baharu. Saya mahu anda semua menjadi intelektual Muslim dan ikon belia yang dibanggakan umat Islam di Malaysia,” katanya.