Tasik Kenyir jadi pilihan pelancong

Ariffin (tengah) bergambar bersama peserta ASEAN Monsoon Casting Tournament Special Edition 20/21 di Sungai Leban, Tasik Kenyir pada Sabtu.
Ariffin (tengah) bergambar bersama peserta ASEAN Monsoon Casting Tournament Special Edition 20/21 di Sungai Leban, Tasik Kenyir pada Sabtu.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Keindahan alam semula jadi di Tasik Kenyir menjadikan ia sebagai destinasi ekopelancongan yang menjadi pilihan utama pelancong ke Terengganu.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital, Ariffin Deraman berkata, ia bertepatan dengan tema Kenyir Semula Jadi sempena penganjuran Tahun Melawat Kenyir 2021 (TMK2021) yang julung kali diadakan tahun ini.

“Kerajaan negeri akan terus terus mempromosikan Tasik Kenyir sebagai destinasi utama pelancongan berkonsepkan alam semula jadi.

“Selain itu, kita juga akan terus menjalankan aktiviti pemuliharaan serta menekankan konsep konservasi bagi hidupan dan tumbuh-tumbuhan di sini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis penyampaian hadiah sempena Program ASEAN Monsoon Casting Tournament Special Edition 20/21 di Tasik Kenyir di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Ariffin berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu akan melancarkan pakej khas sempena TMK 2021.

Ariffin (kanan) ketika berucap sempena program penutup dan penyampaian hadiah ASEAN Monsoon Casting Tournament Special Edition 20/21 di Sungai Leban, Tasik Kenyir pada Sabtu.
Ariffin (kanan) ketika berucap sempena program penutup dan penyampaian hadiah ASEAN Monsoon Casting Tournament Special Edition 20/21 di Sungai Leban, Tasik Kenyir pada Sabtu.

Katanya, banyak kelainan yang akan diketengahkan sempena penganjuran TMK 2021 yang dijadualkan berlangsung setiap bulan bermula Januari hingga Disember sepanjang 2021.

“Kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu akan melancarkan acara utama kalendar aktiviti pelancongan dan kebudayaan Terengganu 2021 bulan ini.

Artikel Berkaitan:

“Antara pengisian utama ialah aktiviti di Tasik Kenyir seperti Festival Kenyir, Jetrace Challenge, Kenyir Bird & Nature Quest,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai penganjuran program ASEAN Monsoon Casting Tournament Special Edition 20/21, beliau berkata, ia tetap meriah walaupun tanpa penyertaan peserta dari negara luar disebabkan pandemik Covid-19.

Katanya, acara itu juga direncanakan sebagai antara acara utama sempena TMK 2021.

“Program kali dijalankan dengan penuh meriah walaupun kita terpaksa menangguhkan penyertaan daripada peserta dari negeri-negeri dan kawasan zon merah disebabkan Covid-19.

“Sebab itu kita berharap dan amat menitik beratkan prosedur operasi standard (SOP) dalam setiap penganjuran program bagi mengelak penularan pandemik ini,” katanya.

ASEAN Monsoon Casting Tournament Special Edition 20/21 menyaksikan penyertaan seramai 140 peserta dari seluruh negara meliputi empat kategori utama pertandingan.