Bayar RM3,000 sindiket uruskan semuanya

No Image Caption
A
A
A

[KES 1] SHAH ALAM – Demi merahsiakan perkahwinan kedua daripada isteri pertama, Ahmad (bukan nama sebenar) sanggup menggunakan khidmat sindiket nikah.

Ejen sindiket mengenakan bayaran sekitar RM3,000 untuk membantu Ahmad berpoligami secara rahsia.

Difahamkan, sindiket terbabit mempercepatkan pengeluaran sijil nikah sama seperti sijil tulen. Sindiket didakwa turut didalangi ‘orang dalam’ sebuah masjid.

Bagi membolehkan pernikahan itu berlangsung, sindiket berkenaan akan menukar alamat pengantin perempuan ke mana-mana alamat rumah orang lain di sekitar sebuah negeri di utara Semenanjug.

Pasangan itu diijabkabulkan tanpa wali. Malah, taraf perkahwinan dalam sijil nikah itu pula ditulis sebagai anak dara walaupun status sebenar pengantin perempuan itu janda.

Khidmat sindiket itu mendapat sambutan kerana pengantin lelaki tidak perlu bersusah payah melalui prosedur ketat di pejabat agama termasuk mendapatkan kebenaran mahkamah syariah.

Lima tahun baru Siti Umairan tahu dimadukan suami

[KES 2] SHAH ALAM - Demi melunaskan hasrat mengahwini seorang wanita warga asing suami Siti Umaira (bukan nama sebenar) sanggup membelanjakan sejumlah wang membayar sindiket untuk bernikah di negara jiran, Thailand.

Artikel Berkaitan:

Menceritakan pengalamannya, wanita berusia 45 tahun berasal dari Pahang itu berkata, dirinya hanya tahu telah dimadukan setelah lima tahun usia perkahwinan suaminya itu bersama isteri kedua yang juga ibu tunggal beranak dua.

“(Bekas) suami berkahwin di Thailand guna sindiket. Dia mendapat tahu tentang sindiket itu melalui kawan-kawan sekerjanya yang juga pemandu lori.

“Apabila pulang ke Malaysia mereka tidak daftar perkahwinan kerana faktor kekangan kos dan denda yang mahal. Duit telah banyak dihabiskan untuk urusan pernikahan,” ujar Siti kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Katanya, sebaik tahu dirinya dimadukan, Siti Umaira menuntut perceraian namun suami enggan menceraikan menyebabkannya terpaksa meminta fasakh.