X

Kindly register in order to view this article
!

KL Thunder juara STL 2020

KL Thunder membuktikan status pasukan pilihan apabila muncul juara STL 2020 saingan Liga Premier.
A
A

KUALA LUMPUR Thunder (KL Thunder) membuktikan status mereka sebagai pasukan pilihan apabila muncul juara Liga Sepak Takraw (STL) 2020 saingan Liga Premier.

Tampil dengan reputasi tinggi bersandarkan kepada barisan pemain sedia ada, kejayaan yang dicapai KL Thunder kali ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Bagi kalangan peminat dan pemerhati sukan sepak takraw negara, KL Thunder dilihat memiliki ramuan untuk bergelar juara selepas memiliki khidmat tekong berpengalaman, Syahir Rosdi, killer berbisa, Azlan Alias serta apit kiri, Amirul Zazwan Amir.

KL Thunder turut memiliki kekuatan tersendiri dengan adanya khidmat bekas pemain kebangsaan seperti Ahmad Aizat Mohd Nor Azmi (tekong) dan Mohd Hanafiah Dollah (apit kanan) selain Rizal Maamor, Redwan Hakim Muhammad dan Azmi Kadir.

Pengurus KL Thunder, Zambri Abdul Rahman berkata, kejayaan muncul juara STL 2020 adalah hasil daripada kerjasama berpasukan yang diterapkan mereka sejak perlawanan sulung.

"Pertama sekali, saya ingin mengucapkan tahniah kepada para pemain yang bekerja keras untuk memastikan kejayaan ini. Tanpa usaha keras mereka kejayaan ini tidak mampu dicapai.

"Tahniah dan pujian juga kepada barisan jurulatih yang sentiasa memberikan komitmen tinggi baik di dalam mahupun di luar gelanggang. Ini antara faktor yang menyumbang kejayaan kami.

"Tanpa kerjasama berpasukan, saya percaya sukar bagi KL Thunder mencapai kejayaan ini. Setiap pemain dan pegawai pasukan memainkan peranan penting memacu kejayaan KL Thunder," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Terdahulu, KL Thunder mengesahkan kejuaraan STL 2020 menjadi milik apabila melakar kemenangan 21-18, 21-16 ke atas PDRM Defenders dalam masa 45 minit.

Kemenangan itu sudah cukup untuk menobatkan KL Thunder selaku juara biarpun mereka bakal menghadapi baki dua perlawanan bertemu Johor Tigris pada 30 Disember dan ATM Guardians (31 Disember).

“Kami sendiri pun tidak menyangka dapat kejayaan lebih awal. Apa pun kami tetap akan cuba menamatkan saingan musim 2020 ini dengan rekod tanpa kalah,” ujar Zambri.

Pada masa sama, Zambri berkata, setelah tamat saingan STL 2020, anak-anak buahnya akan berehat sebelum kembali menyambung latihan mulai 9 Januari sebagai persediaan menghadapi Challenge Cup.

“Saya jangka Challenge Cup nanti bakal menjanjikan saingan yang berbeza. Jadi akan akan cuba berusaha yang terbaik dalam memburu gelaran berganda tahun ini,” jelasnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!