Kuatkan mental hadapi cabaran semasa

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

CERITA seorang sahabat saya mengenai latihan untuk menjadi seorang anggota komando menyebabkan saya kembang tekak untuk beberapa hari.

Menurutnya yang kini sudah pun bersara dan menjalankan perniagaan kedai makan di ibu kota, antara proses pemilihan awal atau tempoh orientasi adalah berkongsi berus gigi dengan 300 orang calon memang meloyakan.

Kata sahabat saya, daripada ujian itu sahaja, seramai 20 hingga 30 orang menarik diri untuk menjalani pemilihan seterusnya.

Sahabat saya ini berjaya mengharungi pelbagai latihan dan ujian mental serta fizikal dalam tempoh empat bulan.

Selain perlu makan makanan eksotik, mereka juga akan duduk di dalam lumpur selama seminggu.

Bagaimanapun, latihan terakhir merupakan ujian yang paling getir demi untuk menjadi seorang anggota komando.

Dengan tangan dan kaki yang diikat, dia perlu bergerak di atas batu-batu yang dipenuhi dengan teritip yang tajam. Jarak yang di-berikan kira-kira 100 meter sahaja tetapi dia mengambil masa selama tiga hari untuk melengkapkan cabaran tersebut.

Sebenarnya komando berasal daripada perkataan Command and Do (perintah dan buat). Mereka yang terpilih merupakan individu atau kumpulan yang akan melaksanakan misi-misi khas. Mereka sangat patuh kepada arahan yang diberikan.

Artikel Berkaitan:

Disebabkan oleh latihan-latihan yang keras itulah menyebabkan mereka dianggap tentera elit dan mendapat penghormatan yang sangat tinggi.

Sejarah awal pasukan tersebut dipelopori oleh tentera British ketika Perang Dunia II dan kemudian diikuti oleh tentera Amerika Syarikat.

Latihan

Di Malaysia, kumpulan pertama komando negara dilatih oleh tentera British di Sri Lanka yang dikenali sebagai Force 136.

Pasukan berkenaan terdiri daripada pelajar-pelajar yang melanjutkan pelajaran di England pada waktu itu. Mereka diberikan pelbagai latihan keras termasuk latihan payung terjun.

Force 136 adalah nama samaran umum bagi satu cawangan pertubuhan Eksekutif Operasi Khas (SOE), Britain semasa Perang Dunia II.

Pertubuhan itu diwujudkan bagi menggalakkan dan membekal pergerakan penentangan di wilayah dalam kawalan musuh serta sering kali melaksanakan operasi-operasi sabotaj.

Mereka beroperasi di wilayah-wilayah yang diduduki oleh tentera Jepun sejak tahun 1941 sehingga 1945. Justeru, kita sangat menghargai segala jasa dan pengorbanan besar anggota keselamatan dalam mempertahankan negara.

Pengorbanan mereka untuk menjadi tentera yang terbaik juga tidak boleh kita lupakan. Di Amerika Syarikat contohnya, veteran-veteran tentera mendapat pengiktirafan dan penghormatan yang tinggi.

Kita yakin Malaysia juga melakukan hal yang sama dengan veteran tentera kita.

Sebenarnya, latihan fizikal dan mental yang dilalui oleh anggota-anggota komando boleh dijadikan motivasi kepada kita semua.

Dalam kehidupan kita, kekuatan mental itu sangat penting dalam mengharungi cabaran semasa terutama pada ketika ini. Ramai dalam kalangan kita kehilangan kerja atau perniagaan jatuh merudum kerana pandemik Covid-19.

Kita tidak boleh putus semangat dalam kehidupan kerana cabaran yang perlu kita lalui itu mungkin kecil jika hendak dibandingkan dengan orang lain.

Jika kita berjaya keluar daripada ujian yang melanda kita, maka kita akan menjadi lebih kuat pada masa depan.

Seandainya, anda berhadapan dengan sebarang masalah dan tidak mampu untuk menyelesaikannya, anda sepatutnya mendapatkan bantuan.

Sebenarnya, berdoa juga adalah satu kaedah terbaik untuk menguatkan mental. Berdoa memberitahu kepada otak kita supaya kita dapat melakukan apa yang kita hajati.

Sebab itulah, dalam Islam, doa itu ibarat senjata orang mukmin. Ia adalah sebahagian usaha untuk menguatkan mental kita dalam menghadapi sebarang cabaran.