Dua pejalan kaki dirempuh kereta mengundur

Mangsa yang terperosok di bawah kereta dikeluarkan oleh pasukan bomba.
Mangsa yang terperosok di bawah kereta dikeluarkan oleh pasukan bomba.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang pejalan kaki terperosok di bawah kereta manakala seorang lagi cedera selepas dirempuh kenderaan yang sedang mengundur dalam kejadian di sebuah kedai makan di Jalan Chempa di sini, petang Rabu.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, mangsa, Tieu Boon Wha, 45, dan Ang Beng Aun, 52, tidak sempat mengelak selepas kereta yang dipandu seorang warga emas hilang kawalan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki berusia 82 tahun yang memandu kereta Toyota Camry itu hendak keluar dari petak parkir namun terbabas dan telah melanggar tiga buah motosikal.

"Ketika kereta berkenaan mengundur, pemandu terbabit tertekan pedal minyak.

"Boon Wha yang tidak sempat mengelak terperosok di bawah kereta manakala Beng Aun pula mengalami kecederaan ringan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Kenderaan yang melanggar tiga motosikal sebelum merempuh dua pejalan kaki di sebuah kedai makan di Jalan Chempa, Butterworth, petang tadi.
Kenderaan yang melanggar tiga motosikal sebelum merempuh dua pejalan kaki di sebuah kedai makan di Jalan Chempa, Butterworth, petang tadi.

Noorzainy berkata, pasukan bomba terpaksa dipanggil bagi membantu mengeluarkan mangsa yang terperosok di bawah kereta.

Katanya, kedua-dua mangsa dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan manakala pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Artikel Berkaitan:

"Tiga buah motosikal jenis Honda Wave, Yamaha LC dan Yamaha Sport yang dirempuh mengalami kerosakan teruk manakala kereta warga emas terbabit hanya mengalami kerosakan pada bahagian belakang.

"Siasatan lanjut masih diteruskan dan Peraturan 17 Kaedah-Kaedah Lalu lintas Jalan 1959 (Rule 17 LN 166/59),” katanya.