Isu kartel daging: Bukit Aman terima 13 laporan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan berhubung isu kartel daging sejuk beku yang menggunakan logo halal palsu seperti yang didedahkan Sinar Harian baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, sebanyak 13 laporan polis telah dibuat oleh orang awam yang gusar susulan serbuan yang dilakukan di sebuah gudang di Senai, Johor.

Menurutnya, siasatan telah dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5 JSJ Bukit Aman di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada orang awam.

"Berdasarkan jumlah sitaan dan rampasan serta nilai yang terlibat, tidak dinafikan bahawa aktiviti ini mendapat rangkaian yang luas serta didalangi sindiket dalam dan luar negara.

"Ruang lingkup siasatan antara lain merangkumi pihak terlibat dalam pemerolehan, penyimpanan, pemprosesan, penyeludupan, pihak yang memanipulasi, bersubahat serta membawa masuk daging sejuk beku melalui permit import (AP)," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tegasnya, PDRM memandang serius perkara itu dan komited untuk menanganinya dengan jaringan kerjasama antara agensi seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Tambahnya, kewajaran tindakan ke atas sindiket itu dengan mengambil kira justifikasi berikut iaitu mencetuskan kegusaran masyarakat Malaysia terutama melibatkan isu yang menyentuh sensitiviti agama Islam.

"Selain itu, ia turut mencetuskan ketidakpuasan hati dan mengancam ketenteraman dalam negara akibat perdayaan perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab. Ia juga menjejaskan imej negara sebagai hab halal dan memberi kesan yang besar kepada sektor ekonomi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil untuk membantu siasatan dan tidak menularkan berita yang tidak dipastikan kesahihannya sehingga menyebabkan kegentaran awam dan menggugat keharmonian negara.

"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam," katanya.