PDRM beri jaminan turut siasat isu kartel daging

PDRM juga sudah membuka beberapa kertas siasatan berhubung isu kartel daging import berdasarkan laporan daripada beberapa individu dan badan bukan kerajaan (NGO). - Foto 123RF
PDRM juga sudah membuka beberapa kertas siasatan berhubung isu kartel daging import berdasarkan laporan daripada beberapa individu dan badan bukan kerajaan (NGO). - Foto 123RF
A
A
A

LANGKAWI - Polis Diraja Malaysia (PDRM) beri jaminan untuk turut membantu siasatan kes kartel daging import walaupun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) adalah agensi paling relevan dalam isu itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya juga sudah membuka beberapa kertas siasatan berhubung isu itu berdasarkan laporan daripada beberapa individu dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Isu ini berkaitan perihal dagangan, jadi paling relevan untuk menyiasatnya adalah KPDNHEP tapi dalam pada itu PDRM tetap jalankan siasatan daripada laporan yang mendakwa wujud kartel yang melakukan penyelewengan, dalam isu daging import.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu kartel daging: Kerajaan setuju tubuh RCI

Kaukus Dewan Negara gesa bongkar dalang kartel daging haram

Zulkifli yakin KPDNHEP dapat tangani isu kartel daging import

“Saya melihat daripada sudut jika terbukti kegiatan ini benar (berlaku), dan timbulkan kegusaran kepada orang ramai, saya (PDRM) akan ambil tindakan undang-undang,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun setakat ini masih belum ada sebarang penahanan dibuat oleh pihaknya, berhubung kes itu.

Artikel Berkaitan:

Isu kartel daging import seludup yang diragui status halal, kini menjadi hangat setelah media berjaya membongkar kes itu baru-baru ini, sekali gus mencetuskan kegusaran orang ramai.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador (kiri) bersama Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir (tengah) dan Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim selepas Mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di sini hari ini. - Foto Bernama
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador (kiri) bersama Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir (tengah) dan Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim selepas Mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di sini hari ini. - Foto Bernama

Mengenai mesyuarat OBK yang dipengerusikan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) itu, Abdul Hamid berkata, antara isu dibangkitkan ialah mengenai tindakan ke atas majikan yang mempunyai rumah kongsi di pinggir hutan, yang membenarkan pekerja asing mereka menjalankan aktiviti menjerat hidupan liar.

“Ada pekerja asing ambil kesempatan menjerat binatang di hutan berhampiran rumah kongsi, tapi kita akan ambil tindakan keras ke atas majikan, sebab mereka bertanggungjawab pastikan pekerja tidak lakukan kesalahan ini,” katanya.

Sementara itu Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pada 2021, aktiviti penguatkuasaan OBK akan bertumpu di kawasan panas pemburuan haram di hutan simpan, termasuk di Taman Negara Banjaran Titiwangsa yang dikenal pasti sebagai kawasan keliaran dan perlindungan habitat Harimau Malaya.

Katanya, ada pemburu memasang jerat untuk babi hutan misalnya, namun ia terkena kepada hidupan liar lain yang dilindungi.

“Jadi kita nak fokus untuk memusnahkan jerat-jerat khususnya jerat dawai yang kebanyakannya berlaku di tepi-tepi (pinggir) hutan, terutama yang dekat dengan rumah kongsi,” katanya.

Turut serta pada sidang akhbar itu Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir. - Bernama