X

Kindly register in order to view this article
!

Undang-undang cukup, tapi kita tak berani laksana

Mohd Sidek. Foto: Ihsan EAIC
A
A

[MUKADIMAH] Malaysia baru-baru ini dikejutkan dengan pelbagai skandal rasuah dalam kalangan pegawai dan penjawat awam, membabitkan jenayah penyeludupan, perjudian dan sindiket penipuan dalam talian.

Sesetengah pihak mahu kerajaan melaksanakan hukuman yang lebih berat termasuk mewujudkan undang-undang baru.

Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Tan Sri Mohd Sidek Hassan bagaimanapun berkata, undang-undang sedia ada sudah mencukupi tetapi kelemahannya adalah dari segi pelaksanaan.

Ini katanya, termasuklah kegagalan pegawai atasan kerajaan mengambil tindakan tatatertib dan menghukum kakitangan yang didapati melakukan kesalahan supaya menjadi pengajaran kepada kakitangan awam yang lain.

Ikuti wawancara Sinar Ahad bersama Mohd Sidek yang dikendalikan oleh Penolong Pengarang Pengisian Berita, Junhairi Alyasa dan wartawan Raiham Mohd Sanusi di Pejabat EAIC di Putrajaya baru-baru ini.

SINAR AHAD: Tan Sri pernah menjadi Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam lebih 38 tahun. Bagaimana pengalaman Tan Sri dapat membantu EAIC menjadi sebuah agensi yang terbaik di negara ini?

MOHD SIDEK: Berbalik kepada apa yang terbaik, pokoknya adalah integriti. Ramai yang anggap berintegriti itu maksudnya tak ambil rasuah. Tapi sebenarnya integriti ini bukan sekadar rasuah. Integriti ini adalah antara kita dengan diri kita. Kita sendiri mesti ada integriti walaupun tak melibatkan sesiapa.

Contohnya, orang kampung yang bekerja menoreh getah. Dia kerja dengan dirinya sendiri. Dia bangkit awal jam 4.30 atau 5 pagi. Tapi kalau dia bertolak dari rumah awal pagi, mana masuk Subuh lagi? Jadi dia kena solat di tempat dia bekerja di kebun getah. Siapa lihat dia solat? Tak ada siapa yang lihat. Yang tahu cuma dia dan ALLAH SWT.

Kalau dia berintegriti, dia akan solat. Itu integriti dirinya. Tak ada siapa paksa dia solat. Kalau dia tak solat pun, tiada siapa yang tahu. Kalau dia tak ada integriti, dia tak payah potong getah pun. Tak ada siapa paksa, dia sendiri yang nak kerja. Maknanya integriti itu lebih daripada rasuah, ia lebih kepada antara dia dengan dirinya sendiri.

Kalau kita lihat sekarang, penjawat awam berjumlah 1.6 juta. Kalau mereka macam orang kampung yang saya kata tadi iaitu bekerja sendiri, tak ada pegawai atasan dan pegawai bawahan tetapi dia bekerja sendiri maka itulah integriti.

Mohd Sidek. Foto: Ihsan EAIC
Mohd Sidek. Foto: Ihsan EAIC

Pokoknya, integriti adalah bila semua orang tahu apa tugasan dan tanggungjawab masing-masing. Dalam hal ini, EAIC tak perlu buat semua (tugas). Kita tak akan mampu sebab EAIC ini kecil.

Kita ada 78 jawatan sahaja. Peruntukan kewangan pun kecil RM8 juta setahun, jadi tak mungkin satu organisasi seperti EAIC dapat memastikan wujud integriti sepenuhnya dalam kalangan 21 agensi penguatkuasaan. Itu tak mungkin. Kita kena bekerja dengan agensi-agensi lain terutamanya agensi penguatkuasaan yang kita selia.

Bolehkah Tan Sri jelaskan apakah peranan EAIC dalam meningkatkan integriti penjawat awam?

Apa kita perlu buat sebagai EAIC ialah kita hendaklah lebih daripada nabi. Kita hendaklah jadi rasul untuk diri kita dan pengikut-pengikut kita. Itulah perumpamaan pentingnya EAIC, kita perlu bekerja dengan orang lain lebih-lebih lagi sekarang ini kita tak ramai.

Orang itu yang kita nak jaga, kita sifatkan mereka sebagai kawan kita, bukan musuh. Bila kita jaga, katalah agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), mereka itu bukan musuh kita dan kita bukan musuh mereka. Mereka rakan kongsi kita.

Sebab itu pada 27 November lalu saya berjumpa dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Polis saja ada kira-kira 130,000 orang. Dengan kekuatan 78 perjawatan EAIC, kita nak jaga 130,000? Mengah kita! Jadi kita harap dan berdoa kepada ALLAH agar mereka itu jaga diri sendiri.

Baru-baru ini ada tangkapan ramai pegawai dan penguat kuasa JIM. Kita tak nafikan ada antara mereka yang nakal tapi ramai yang baik daripada yang nakal. Dengan jumlah 1.6 juta penjawat awam, kamu ingat 800,000 daripada mereka jahat? Tidak, saya rasa jumlahnya kecil sahaja. Yang baik ini lebih ramai dan mereka sangat benci kepada yang nakal itu.

Tapi ini mungkin silap kitalah. Mungkin kita (pegawai atasan) tak berapa suka menghukum (penjawat awam yang melakukan kesalahan integriti). Kita tidak beri hukuman sebab kita suka disukai. Kebanyakan daripada kita ini terutama orang besar-besar (berjawatan tinggi) amat suka disukai.

Nasihat saya baguslah kita suka disukai tapi bila kita perlu menghukum kita kena menghukum sebab kalau tidak, kerana nila setitik, akan rosaklah susu sebelanga.

Saya lebih suka yang menghukum ini adalah dalam kalangan mereka sendiri. Bila ada anggota PDRM misalnya yang melakukan kesalahan, hukumannya bukan daripada SPRM dan bukan di mahkamah. Hukumannya sepatutnya datang daripada polis sendiri, daripada bahagian tatatertib PDRM.

Bagaimana Tan Sri melihat usaha-usaha untuk membudayakan integriti dalam perkhidmatan awam di negara ini? Apakah halangan utamanya?

Saya pun tak faham kenapa sekarang ini terlalu banyak dipersoalkan pasal integriti. Adakah sebab dulu tak ada masalah integriti dan sekarang terlalu banyak? Kenapa orang ambil duit yang bukan hak mereka?

Arwah mak saya dahulu nasihat kalau kita jumpa duit yang bukan kita punya, kita pulang balik. Kalau tak tahu siapa punya, kita hantar ke masjid. Itu yang arwah mak saya ajar pada saya. Itu juga yang saya ajar kepada anak-anak saya. Itu juga saya ajar kepada ‘anak-anak’ saya di pejabat. Itu juga saya ajar kepada ‘anak-anak’ saya masa saya jadi KSN.

Integriti adalah daripada diri sendiri dan tidak melibatkan orang lain pun. Antara kita dengan diri kita dan kita dengan ALLAH. Apa yang terbaik bila kita sendiri ada integriti?

Yang terbaiknya bila polis, JIM, JPJ jaga diri mereka dan unit masing-masing. Apa yang terbaik adalah apabila individu itu sendiri jaga diri mereka sendiri.

Tapi kalau tak ada integriti itu, barulah orang lain seperti SPRM lakukan tugas tersebut. Orang yang jaga disiplin dan integriti, mereka hendaklah lebih berdisiplin daripada orang yang mereka mahu disiplinkan. Orang yang jaga integriti hendaklah lebih berintegriti daripada orang yang dia nak jaga.

Pada pengamatan Tan Sri, dari manakah akar masalah rasuah di negara ini, berpunca daripada pemberi atau penerima? Mengapakah penerima rasuah lebih banyak didakwa di mahkamah?

Lebih senang mendakwa penerima daripada pemberi. Masalahnya sebenarnya sama, kalau tak ada orang beri tak akan ada penerima. Masa saya di universiti dahulu dah ada (kes rasuah). Saya keluar universiti Januari 1974. Maknanya dari 1971 saya sudah belajar tentang rasuah.

Rasuah ini ada empat faktor iaitu ada orang beri, ada yang minta, guna dana awam seperti dia tuntut kerja lebih masa padahal dia tak buat dan tuntut elaun perjalanan sedangkan dia tak pergi pun dan keempat pilih kasih.

Kenapa kita soal pasal penerima sahaja? Rasuah melibatkan dua pihak iaitu pemberi dan penerima. Pada pendapat saya kita hendaklah mengambil tindakan yang tegas terhadap pemberi rasuah.

Mohd Sidek. Foto: Ihsan EAIC
Mohd Sidek. Foto: Ihsan EAIC

Kenapa tidak ambil tindakan tegas kerana bila dia beri rasuah, orang yang menerima tak akan buat laporan bahawa ada orang beri dia duit melainkan orang yang memberi itu ditangkap oleh SPRM.

Maknanya jangan kita membenci orang yang menerima sahaja. Kita hendaklah membenci orang yang memberi. Tapi budaya masyarakat kita bila tangkap penerima rasuah (mereka) kata okey, bila tangkap pemberi rasuah tak okey.

Warren Buffet mengatakan untuk mencari pekerja, carilah tiga kualiti yang mereka ada: integriti, bijaksana dan tenaga. Jika mereka tiada kualiti yang pertama, yang dua lagi akan musnahkan kamu. Apa komen Tan Sri?

Memang betul. Bercakap soal ini saya ambil contoh kes seorang penguat kuasa JIM gred KP19. Katanya sebelum dia dilantik ke JIM, dia dah ‘nakal’ makanya dia tak ada integriti awal-awal.

Tapi sahabat nabi, Saidina Umar Al-Khattab, sebelum masuk Islam dia ‘nakal’. Integriti tak ada tapi bila dia masuk Islam, baiknya dia ‘Ya Rabbi’. Dia khalifah kedua selepas Saidina Abu Bakar As-Siddiq. Jadi ada sikit kontra.

Maknanya eloklah kita ambil orang yang baik dahulu tapi ada orang yang baik jadi nakal dan ada juga yang nakal lepas itu jadi baik.

Maksudnya kita hendaklah mengadakan suasana yang membuat orang jadi baik. Katakanlah Ketua Pengarah JIM, beliau mahu orang menyukai pegawai-pegawainya, maka beliau menerapkan perkhidmatan yang penuh hemah, cepat, beri senyuman dan tak akan kompromi dengan integriti.

Maknanya perkhidmatannya cepat, pegawainya tidak minta duit dan sekiranya diberi pun, mereka tak mahu. Beliau juga yakin bahawa beliau tak boleh kerja seorang.

Ketua Pengarah JIM ini kita boleh kata orang yang sangat baik tapi walaupun dia amat baik, cemerlang namun dia tak boleh berjaya dengan bekerja berseorangan. Timbalan-timbalan beliau juga hendaklah mempunyai sikap yang sama juga.

Bagaimanapun walau mereka semua bagus, mereka tak dapat pastikan bahawa seluruh warga kerja JIM itu bebas rasuah. Jadi perlunya ada konsep menghukum mereka yang lakukan kesalahan di peringkat jabatan itu.

Tapi saya juga ingatkan jangan menganiaya sesiapa. Kalau dia tidak salah, jangan hukum. Kita kena adil, kalau tidak kita akan jawab (di akhirat) nanti. Tapi kalau dia salah, salahlah.

Adakah Tan Sri berpuas hati dengan peruntukan undang-undang atau hukuman yang ada termasuk usaha-usaha untuk meningkatkan integriti dengan adanya pelan antirasuah sekarang? Adakah langkah dan undang-undang sedia ada mencukupi atau perlukan hukuman lebih berat?

Saya berpuas hati dengan undang-undang sedia ada. Yang saya tidak puas hati adalah bila ia tidak dilaksanakan. Malahan penggubalan Akta 700 iaitu Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 yang membawa kepada penubuhan EAIC saya ingatkan sudah cukup.

Kita mungkin tidak melaksanakan dengan sepenuhnya Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 untuk penjawat awam. Apa yang tak cukup adalah dari segi pelaksanaannya.

Pelan Integriti Nasional yang dulunya Tun Abdullah Ahmad Badawi lancarkan masa beliau menggalas jawatan Perdana Menteri, saya rasa dah cukup. Apa yang tak cukup adalah pelaksanaannya. Umpamanya berkaitan disiplin.

Adakah kita sebagai pihak berkuasa tatatertib mengenakan hukuman yang setimpal dan memastikan bahawa penjawat awam yang melakukan kesalahan dikenakan hukuman setimpal supaya dia tak terlepas dan seterusnya beri pengajaran kepada lebih ramai penjawat awam supaya tak buat perkara sama.

Masalah kita ialah selalu kata undang-undang sedia ada tak cukup. Bila ada apa-apa berlaku, terus nak buat undang-undang baharu sedangkan undang-undang lama tak dilaksanakan.

Apa yang menyebabkan kita buat undang-undang baharu yang mempunyai hukuman yang lebih berat?

Hukuman yang lebih ringan pun kita tak berani dan tak sanggup nak laksanakan.

Contohnya saman trafik, kita tak kutip pun. Kalau dia (pesalah trafik) bayar saman lambat, kita bagi diskaun terutama ketika musim cuti raya dan sebagainya. Yang tak bayar langsung itu kita lupa.

Di negara yang rakyatnya berdisiplin tinggi seperti di Jepun, katakanlah jam 12.01 tengah malam di kawasan lampu isyarat dan kereta tak ada, pemandu tetap tak jalan, bila lampu hijau baru dia jalan. Ini pengalaman yang saya lihat sendiri semasa bertugas di Jepun sekitar tahun 1977 hingga 1979.

Nasihat saya tingkatkan penguatkuasaan undang-undang yang ada kerana itu lebih daripada cukup.

Adakah menaikkan gaji penjawat awam terutama pasukan penguat kuasa dapat menyelesaikan masalah rasuah?

Semasa saya mula bekerja tahun 1974 dahulu gaji saya cuma RM500 tetapi tetap cukup. Jadi wang bukanlah isunya. Cuba periksa penjawat awam atau penguat kuasa gred KP19, gaji dia berapa? Paling banyak RM4,000 ke RM5,000 tapi kenapa dia tak berhenti bila dia dapat rasuah?

Tapi saya jamin ramai KP19 yang tidak terima rasuah, gaji dia cukup. Jadi wang bukan isu. Kalau kita nak naikkan gaji RM10 seorang. Kalau penjawat awam 1.6 juta dah RM10.6 juta sebulan. Jika setahun dah RM192 juta.

Naik RM10 ini orang kata celah gigi saja. Kalau naik RM100, bermakna RM1.9 bilion setahun. Sebab itu kita kena fikir perkara itu tapi mana yang patut naik itu, naikkanlah.

Tapi kalau orang yang nakal kalau naikkan gaji banyak mana pun dia akan nakal juga. Sebab itu kena ada penghayatan dan menjiwai perkhidmatan yang dicurahkan sebab itu adalah satu ibadah.

Apakah harapan dan impian Tan Sri pada masa depan untuk melihat Malaysia bebas rasuah dan salah guna kuasa?

Pada 22 Jun 2012, saya sampaikan ucapan pada majlis makan malam persaraan saya sebagai KSN. Harapan saya adalah supaya perkhidmatan awam Malaysia ditanda aras oleh yang terbaik.

Misalnya, Singapura atau Jepun memberi tanda aras kepada perkhidmatan awam kita. Kalau kita lihat ketika itu juga perkhidmatan yang diberikan oleh JIM adalah salah satu yang terbaik di dunia.

Selain itu, perkhidmatan kesihatan dan kehakiman kita juga bagus. Bank Dunia lakukan kajian dan mereka memujinya serta mengiktiraf kejayaan kita kerana kita ditanda aras. Harapan saya pada masa depan supaya kita ditanda aras dengan syarat kita bertekad dan semua orang bekerja, bukan Ketua Polis Negara sahaja, bukan Ketua Pengarah Imigresen sahaja, bukan Pengerusi EAIC sahaja bekerja tetapi semua orang perlu bekerja dengan satu nada seiring.

ANEKDOT

Bangga asal Cherok Paloh, Pekan

Saya asal orang kampung di Cherok Paloh, Pekan, Pahang. Negara ini telah beri peluang orang kampung Cherok Paloh menjadi Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Pengerusi Petronas.

Saya jadi penjawat awam sebab saya suka berkhidmat. Saya masih ingat peristiwa pada 1950-an ketika seorang pak cik orang kampung saya nak bayar cukai tanah. Dia pergi ke pejabat tanah bila tak boleh menoreh getah sebab hujan.

Dia kena kayuh basikal sampai ke jeti feri di Sungai Pahang. Pada masa itu, jambatan belum ada jadi kena naik feri. Sampai ke pejabat tanah, nak bayar cukai tapi sudah jam 4 petang. Peon kata pejabat dah tutup, jadi dia minta datang esok. Punyalah seksa orang kampung itu datang. Dia pergi bayar cukai tanah itu bukan nak minta duit tapi nak bagi duit kepada kerajaan.

Jadi bila saya jadi KSN, saya nasihatkan diri saya dan penjawat-penjawat awam lain bahawa kita kuat kuasakan sesuatu peraturan itu hendaklah ada sebab yang munasabah iaitu biarlah memudahkan jangan menyusahkan.

Kalau saya jadi KSN waktu itu, saya akan minta pemungut hasil tanah ambil duit pak cik itu dan keluarkan resit. Jadi tak payah datang esoknya sebab kasihan pak cik itu datang kayuh basikal dan naik feri.

Kalau ada, orang yang macam inilah boleh dinaikkan pangkat menjadi KSN iaitu memudahkan. Integriti bukan setakat soal tolak rasuah tapi melaksanakan kerja dengan cara terbaik.

Saya juga banyak bercerita mengenai Cherok Paloh semasa mesyuarat ketua setiausaha kementerian, mesyuarat ketua-ketua perkhidmatan yang dihadiri Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Kesihatan dan ketua-ketua jabatan lain.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!