Nafas baharu liga amatur negara

Aksi Liga M3 antara KT Rovers (jersi kuning) dan Imigresen FC.
Aksi Liga M3 antara KT Rovers (jersi kuning) dan Imigresen FC.
A
A
A

Penstrukturan semula saingan Liga M3 dan Liga M4 oleh Liga Amatur Bola Sepak (AFL) di semua peringkat mulai 2021 bakal memberikan nafas baharu kepada saingan liga bola sepak di negara ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, penstrukturan yang turut melibatkan pindaan format dan sistem pertandingan secara menyeluruh itu bakal membantu semua pihak yang terlibat dalam industri bola sepak negara bagi mengharungi cabaran pada masa hadapan.

Menurut Stuart, penstrukturan berkenaan dilihat akan berjaya bukan hanya untuk saingan Liga M3 dan Liga M4, tetapi juga untuk pertandingan di peringkat belia dan futsal.

“Kita melihat perkara ini sebagai satu usaha ‘pemulihan’ dan mulai 2021 kita mahu pastikan pindaan format berkenaan akan dapat dilaksanakan sebagai persediaan mengharungi masa hadapan yang sukar untuk diramalkan.

“Secara keseluruhannya, kita mahu memastikan kesemua pertandingan dapat terus dijalankan bukan sahaja melibatkan saingan Liga M3 dan Liga M4, tetapi juga pertandingan melibatkan peringkat belia serta futsal di bawah kelolaan FAM,” katanya pada Sabtu.

Terdahulu, Pengerusi AFL Datuk Mohd Yusoff Mahadi menegaskan pihaknya mahu melakukan penstrukturan semula saingan Liga M3 selain membuat penilaian lebih ketat bagi mengelakkan sebarang masalah khususnya berkaitan pembayaran gaji pemain dan pegawai.

Menurut Mohd Yusoff, pihaknya juga tidak teragak-agak untuk menggugurkan mana-mana kelab yang didapati tidak memiliki sumber kewangan atau dana yang mencukupi daripada beraksi dalam saingan Liga M3.

Sementara itu Stuart berharap agar penstrukturan berkenaan diberikan perhatian serius oleh semua pihak agar isu seperti hutang serta tunggakan gaji tidak lagi timbul pada masa hadapan.

Artikel Berkaitan:

“Semua pengurusan kelab (FC) dan juga ahli lembaga pengarahnya perlu ingat mengenai kewajiban serta akauntabiliti mereka apabila apabila ambil alih hal ehwal pengurusan kelab.