Operasi SAR berdepan cabaran ombak kuat

Sebahagian anggota terlibat dengan SAR sedang menjalankan usaha mencari di persisir Pantai Kelulut Marang pada Sabtu. (Gambar kecil: Mangsa, Naim Hariri Kamaruddin)
Sebahagian anggota terlibat dengan SAR sedang menjalankan usaha mencari di persisir Pantai Kelulut Marang pada Sabtu. (Gambar kecil: Mangsa, Naim Hariri Kamaruddin)
A
A
A

MARANG - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua lelaki termasuk bakal pengantin di dua lokasi pantai di Marang, di sini tetap diteruskan meskipun berdepan cabaran keadaan ombak yang kuat.

Namun, SAR yang bermula seawal jam 7 pagi hingga 10 pagi Sabtu itu masih gagal menemui petunjuk baharu.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, pencarian bermula di pesisir pantai dari Kuala Marang ke Kuala Dungun sejauh 52 kilometer (km).

"Operasi SAR di Kelulut pagi ini menggunakan bot Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kerana ia lebih sesuai dengan persekitaran pantai dengan ombak yang kuat ketika ini.

"Seramai 43 anggota daripada pelbagai agensi termasuk polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, APMM dan Rela terlibat dalam operasi di Pantai Kelulut pagi ini," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sebelum ini, akhbar melaporkan dua lelaki dikhuatiri lemas dalam kejadian berasingan di daerah ini termasuk bakal pengantin hanya dalam tempoh selang dua minit laporan kejadian pertama diterima, petang Jumaat.

Kejadian berlaku di Pantai Jambu Bongkok dan Pantai Kelulut, di sini antara jam 6.38 petang dan 6.40 petang.

Dalam kejadian di Pantai Kelulut, di sini Naim Hariri Kamaruddin, 31, dari Cheras, Kuala Lumpur datang bersama ahli keluarga ke daerah ini untuk melangsungkan pernikahan bersama pasangannya, Fatin Nabilah Huda Ismail, 27, pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Pasangan itu dijadualkan bernikah di kediaman Fatin Nabilah Huda di Kampung Surau Haji Mat Zin, Bukit Payong, di sini jam 10 pagi.

Difahamkan, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa dikatakan mandi sebelum ditarik ombak kira-kira jam 6.40 petang.

Sebelum itu, kira-kira jam 10.30 pagi Sabtu, seramai 10 wakil pemuda Pas kawasan Rhu Rendang dan Parlimen Marang menunaikan solat hajat berjemaah di tepi pantai di lokasi kejadian.