MAIPk nafi dakwaan lantik Shopee sebagai amil zakat

Shahrul Azam
Shahrul Azam
A
A
A

IPOH - Kaedah baharu bayaran zakat menerusi aplikasi Shopee merupakan salah satu instrumen bayaran (wasilah) dalam talian dan bukannya sebagai amil zakat.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari berkata, Shopee merupakan ejen kutipan yang dilantik bagi memudahkan urusan bayaran zakat.

“Berkenaan maklum balas netizen di media sosial tentang MAIPk telah melantik Shopee sebagai amil adalah tidak benar sama sekali.

“Evolusi pelaksanaan ibadah zakat bermula dari pembayaran fizikal, nilaian wang, transaksi bank dan seterusnya melantik ejen kutipan seperti MYEG, JomPay, Gopayz, SnapNPay dan terbaharu lantikan Shopee,” katanya ketika sidang akhbar sempena Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan 2021 dan Sumbangan Kebajikan yang disempurnakan oleh Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin di sini pada Khamis.

Shahrul Azam berkata, MAIPk mengamalkan inovasi dan pendekatan yang terkini mengikut keadaan semasa bagi menguruskan hal-hal berkaitan kutipan dan agihan zakat semasa.

“Kajian menunjukkan sebanyak 1.5 juta pelanggan aplikasi itu merupakan Muslim dan di Perak mempunyai antara 200,000 hingga 300,000 pelanggan. Sejak Jumaat lalu, lebih lima peratus pengguna telah membayar zakat terutama golongan muda.

“Dalam menjalani norma baharu terutama dalam mengurangkan penjarakkan fizikal, medium ini dilihat memudahkan orang awam bayar zakat dengan cepat dan selamat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 10 persatuan, pertubuhan dan Jabatan pelajaran Perak menerima sumbangan bantuan persekolahan dan sumbangan kebajikan yang disempurnakan Wan Mohd Zahid (duduk di tengah) dalam satu majlis di Ipoh pada Khamis.
Sebanyak 10 persatuan, pertubuhan dan Jabatan pelajaran Perak menerima sumbangan bantuan persekolahan dan sumbangan kebajikan yang disempurnakan Wan Mohd Zahid (duduk di tengah) dalam satu majlis di Ipoh pada Khamis.

Shahrul Azam berkata, pelantikan ejen-ejen tersebut dibuat berdasarkan suatu perjanjian yang ketat dan mematuhi garis panduan Bank Negara Malaysia dan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 bagi jaminan kerahsian maklumat pengguna.

“Hampir keseluruhan ejen kutipan yang dilantik tidak menyimpan atau melaburkan hasil kutipan zakat, malah terus memindahkan ke akaun zakat MAIPk pada hari yang sama tanpa mengambil manfaat dari Kadar Keuntungan Semalaman (Overnight Placement).

“Sebagai balasan daripada perkhidmatan yang disediakan pihak Shopee, MAIPk membayar caj perkhidmatan melalui peruntukan bajet operasi amil. Ia juga tidak melibatkan bahagian dari jumlah zakat yang dibuat oleh pembayar zakat atau menggunapakai peruntukan agihan zakat bagi asnaf-asnaf yang lainnya,” katanya.

Pada majlis itu, lebih RM7.46 juta diserahkan kepada 10 persatuan dan pertubuhan meliputi Jabatan Pelajaran Negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pusat anak yatim dan sebagainya bagi bantuan persekolahan, sumbangan kit kesihatan pelajar dan kebajikan.

ARTIKEL BERKAITAN: MAIPk perkenal Shopee, medium baharu bayar zakat