X

Kindly register in order to view this article
!

Punca kuasa ekonomi politik

A
A

JANUARI 2019 yang baru berakhir menyaksikan ‘pergaduhan antara empat lelaki’ mewarnai lingkaran punca kuasa ekonomi politik negara kita.

Jika ‘pertembungan’ antara Menteri Kewangan YB Lim Guan Eng dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali timbul susulan percanggahan pendirian berkenaan keputusan kerajaan dalam isu projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan penstrukturan semula beberapa agensi antara kedua-dua kementerian, terdapat satu lagi ‘pertembungan senyap’ yang kurang mendapat liputan meluas: Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin dengan Profesor Ekonomi Universiti Malaya, Edmund Terence Gomez.

Pada satu ketika, Daim jelas memposisikan diri beliau sebagai ‘orang tengah’ dalam ‘pertembungan’ Azmin Ali-Guan Eng – hal ini boleh dilihat melalui teguran terbuka beliau yang dilaporkan The Edge bertajuk "Ministers should not quarrel among themselves" meski pun beliau tidak secara langsung menyebut nama para menteri yang terbabit.

Kurang tiga hari selepas teguran Daim itu, Majlis Presiden Pakatan Harapan telah bermesyuarat dan hasilnya, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir mengumumkan bahawa kerajaan Persekutuan akan menubuhkan satu badan khas bagi meneliti dan menentukan keputusan berkenaan ekonomi negara.

Rancangan penubuhan badan khas ala-Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) 2.0 ini dilihat secara tidak langsung sebagai ikhtiar untuk meredakan pertembungan Azmin Ali-Guan Eng.

‘Pertembungan’ Gomez dengan Daim pula berlangsung apabila Gomez mengarang artikel bertajuk "Patronage is King in new Malaysia?" yang menuduh kerajaan Pakatan yang diterajui Tun Mahathir hari ini meneruskan amalan ‘penaungan selektif’ seperti Umno dengan memberi kedudukan dan kontrak kepada kroni terpilih.

Secara khusus Gomez mengkritik tindakan kerajaan PH memindahkan Khazanah daripada Kementerian Kewangan ke Jabatan Perdana Menteri, penjualan pegangan 0.66 peratus Khazanah dalam bank yang kedua terbesar di Malaysia iaitu CIMB, pelantikan ahli politik Bersatu ke jawatan ahli lembaga pengarah beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLCs) oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Rina Harun, serta keengganan kerajaan PH untuk menubuhkan jawatankuasa bebas bagi menyemak semula rangkaian kompleks GLCs yang berpotensi membawa kepada amalan ‘penaungan selektif’.

Seminggu kemudian, Daim membalas dengan artikel bertajuk "No Patronage in Government Dealings". Antara jawapan balas beliau ialah Tun Mahathir berhak untuk menggunakan kelebihan beliau sebagai PM untuk mengembangkan Unit Perancang Ekonomi (EPU) menjadi sebuah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi – ia bukanlah ‘politik penaungan’.

Jawatan Pengerusi Khazanah pula jawab beliau adalah sememangnya biasa digalas oleh PM, manakala Kementerian Kewangan selaku pemegang saham tidak semestinya berhak untuk diberi autoriti pentadbiran (meski pun begitu, Daim tidak memberi penjelasan tentang pelantikan Azmin dalam ahli lembaga Khazanah). Penjualan 0.66% pegangan Khazanah dalam CIMB pula dijawab Daim sebagai dilakukan secara terbuka dan bukannya secara sembunyi-sembunyi atau diberikan secara rundingan terus.

Sememangnya usaha reformasi institusi – khususnya penstrukturan semula punca kuasa ekonomi politik negara – bukan tugas mudah. Namun begitu, data dan fakta semasa tidak memihak langkah-langkah reformasi yang diambil setakat ini. Indeks Bursa Malaysia berada dalam kedudukan tidak memberangsangkan, nilai Ringgit terus melemah berbanding Dolar Amerika Syarikat, pelaburan asing kian merosot, dan kebelakangan ini jelas sekali beberapa projek pembangunan seperti ECRL dan MRT gagal ditangani dengan baik.

Bukan sahaja penubuhan MTEN 2.0 nanti menimbulkan persoalan dari segi akauntabiliti, tetapi juga dari segi ketelusan. Bahkan persoalan Gomez mengenai laporan Majlis Penasihat Kerajaan yang tidak didedahkan kepada umum serta keengganan kerajaan Pakatan untuk menubuhkan jawatankuasa bebas bagi menyemak semula rangkaian kompleks GLCs juga tidak dijawab oleh Daim.

Apakah jaminan bahawa bukan sahaja akauntabiliti dan ketelusan MTEN 2.0 ini nanti akan lebih baik berbanding Majlis Penasihat Kerajaan yang diterajui Daim sebelum ini – tetapi juga akan mempersembahkan prestasi yang lebih baik buat ekonomi kita?

Seluruh rakyat sedang menilai – jangan sampai ada yang rindukan pendekatan pemusatan punca kuasa ekonomi politik ke tangan PM seperti era BN sebelum ini yang dilihat cekap berbanding pendekatan ‘decentralized’ PH setakat ini.

*Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!