X

Kindly register in order to view this article
!

Ekonomi Malaysia di landasan pemulihan pada awal 2021

Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin
A
A

KUALA LUMPUR - Ekonomi Malaysia dijangka terus berada di landasan pemulihan pada bulan-bulan terawal 2021 seperti yang ditunjukkan oleh Indeks Pelopor (IP) Oktober 2020, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, berdasarkan laporan ekonomi Bank Pembangunan Asia (ADB) yang dikeluarkan pada Disember 2020, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun ini diunjurkan merosot 6.0 peratus dan mencatatkan pertumbuhan 7.0 peratus pada 2021.

“Penting bagi kegiatan ekonomi untuk terus menyediakan pekerjaan untuk rakyat, dan selanjutnya mencari penyelesaian yang tepat dan pendekatan bersasar bagi membendung Covid-19 tanpa menjejaskan pemain industri yang menjadi tulang belakang ekonomi.

“Ketika kita menuju penghujung 2020, berita tentang pelancaran vaksin Covid-19 mencetuskan kegembiraan di seluruh dunia, termasuk di Malaysia, yang dijangka diterima seawal Februari 2021,” katanya dalam kenyataan untuk Soroton Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Siri 8/2020 yang dikeluarkan pada Khamis.

Beliau berkata, ekonomi Malaysia pulih secara beransur-ansur berikutan situasi pandemik yang masih terkawal dengan peraturan prodsedur operasi standard (SOP) yang ketat oleh kerajaan.

“Dasar dan inisiatif kerajaan telah menyokong kestabilan pasaran buruh dan telah mendorong pemulihan secara beransur-ansur.

“Walaupun begitu, usaha yang strategik turut digalakkan untuk mempromosikan keusahawanan sebagai peluang menjana pendapatan, melahirkan pencipta pekerjaan berbanding pencari pekerjaan terutama dalam kalangan belia,” katanya.

Mohd Uzir berkata, pada masa yang sama dalam usaha untuk meningkatkan kebolehpasaran, belia perlu sentiasa bersedia untuk meningkatkan pengetahuan serta kemahiran bagi memastikan mereka kekal fleksibel dan dapat menyesuaikan diri dengan perubahan keperluan pasaran buruh.

Beliau berkata, sejak PKPB dilonggarkan secara berfasa dan diganti dengan PKPP, kerajaan baru-baru ini telah membenarkan perjalanan rentas daerah dan negeri.

“Ini merupakan petunjuk positif kepada peningkatan aktiviti pelancongan domestik.

“Tambahan pula, tempoh akhir tahun kebiasaannya akan dipenuhi dengan aktiviti pelancongan apabila orang ramai memanfaatkan cuti panjang sempena perayaan Krismas, Tahun Baharu dan cuti sekolah yang secara langsung akan menyumbang kepada pertumbuhan ketara industri berasaskan pelancongan di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata, menariknya pandemik Covid-19juga telah memberi impak positif kepada perniagaan.

“Penjarakan fizikal menyebabkan perniagaan beralih kepada penyelesaian digital bagi menjamin kelangsungan perniagaan, iaitu media sosial.

“Ini dapat dilihat melalui peningkatan pembelian dalam talian yang secara langsung melonjakkan hasil dalam perkhidmatan pos dan penghantaran,” katanya.

Mohd Uzir berkata, perniagaan dalam talian telah menyumbang kepada penggunaan telekomunikasi yang lebih tinggi di mana peniaga secara aktif menggunakan platform digital untuk meneruskan perniagaan.

Beliau berkata, usahawan yang terlibat dalam sektor informal seperti menjual makanan, pakaian dan barangan kraftangan telah memanfaatkan platform ini secara kreatif melalui media sosial yang menyumbang kepada pertumbuhan ketara aktiviti ini.

“Menerusi pengumuman belanjawan baru-baru ini, kerajaan telah memperuntukkan bantuan kepada usahawan informal. Bagaimanapun, pendekatan yang lebih proaktif perlu dilaksanakan untuk kelangsungan hidup golongan ini,” katanya.

Bagi pasaran tenaga buruh, beliau berkata bilangan tenaga buruh telah meningkat kepada 15.96 juta orang pada Oktober 2020 berbanding bulan sebelumnya.

Bilangan penduduk bekerja mencatatkan trend menaik bagi tempoh lima bulan berturut-turut dengan pertumbuhan marginal 0.1 peratus bulan ke bulan merekodkan 15.21 juta orang, katanya.

“Kadar pengangguran pada Oktober 2020 adalah 4.7 peratus, meningkat 0.1 mata peratus berbanding September 2020 selepas mencatatkan trend penurunan selama empat bulan berturut-turut sejak Jun 2020,” katanya.

Dari sudut eksport pula, ketua perangkawan berkata eksport barangan Malaysia pada Oktober 2020 meningkat sedikit sebanyak 0.2 peratus tahun ke tahun kepada RM91.1 bilion iaitu nilai eksport bulanan kedua tertinggi yang dicatatkan pada 2020.

Pertumbuhan positif tersebut disokong oleh peningkatan eksport sarung tangan getah; minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit serta produk elektrik dan elektronik, katanya.

“Sektor pembuatan terus menjadi pendorong ekonomi dengan pertumbuhan positif 2.4 peratus yang disumbangkan oleh kedua-dua industri berorientasikan domestik dan eksport.

“Industri berorientasikan domestik terutama disokong oleh pemprosesan makanan; kenderaan bermotor dan peralatan pengangkutan; dan logam asas,” katanya.

Beliau berkata, sementara itu, industri berorientasikan eksport didominasi oleh peningkatan ketara dalam produk getah; komponen dan papan elektronik, peralatan komunikasi dan elektronik pengguna; dan komputer dan kelengkapan peranti. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!