Rugi RM87,000 ditipu kenalan Facebook

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak RM87,400 milik seorang warga emas lesap begitu sahaja selepas dia meminjamkan wang itu kepada seorang rakan yang dikenalinya melalui Facebook pada Oktober lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, wanita berusia 60 tahun itu, berkenalan melalui laman sosial tersebut dengan seorang seorang lelaki menggunakan nama sebagai Haji Usman Hamand Rahman yang mendakwa adalah warga Amerika Syarikat.

"Nasib malang pesara berkenaan bermula selepas menerima panggilan daripada suspek pada hujung November lalu. Suspek memaklumkan dia akan ke negara ini selama tiga tahun berhubung satu projek dengan sebuah syarikat minyak di Terengganu.

"Mangsa kemudian menerima panggilan daripada lelaki tersebut memaklumkan dia sudah berada di negara ini namun menjalani kuarantin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Suspek meminta bantuan mangsa iaitu meminjam wang bagi menampung perbelanjaan lapan pekerjanya dan mangsa bersetuju membantu," katanya melalui satu kenyataan pada Khamis.

Tambah Mohd Wazir, dari tempoh 30 November hingga 18 Disember lalu, mangsa telah membuat sembilan transaksi pindahan wang kepada suspek melalui tiga akaun bank atas nama tiga individu berbeza dengan jumlah keseluruhan RM87,400.

"Mangsa mula curiga dan syak ditipu apabila suspek terus meminta wang. Kali terakhir suspek meminta RM13,000 namun mangsa tidak melayan permintaan lelaki tersebut sebaliknya membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan pada Rabu lalu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, pada masa sama polis sedang mengesan tiga wanita yang dikenal pasti sebagai pemilik akaun bank digunakan dalam kes ini bagi membantu siasatan," ujar beliau.

Artikel Berkaitan: