Produk lokal bertaraf antarabangsa

Roi bersama anugerah dan Sijil Logo Buatan Malaysia di galeri Royale Chesterfield. - FOTO ROSLI TALIB
Roi bersama anugerah dan Sijil Logo Buatan Malaysia di galeri Royale Chesterfield. - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

CIRI-CIRI kemewahan dan reka bentuknya yang elegan serta ‘evergreen’ membuatkan status dan kedudukan sofa reka bentuk Chesterfield sering dipandang tinggi oleh peminatnya serta penghias hiasan dalaman.

Sesuai dengan kualiti dan nilai eksklusifnya, perabot rekabentuk Chesterfield menjadi pilihan untuk ditempatkan di istana kediaman diraja Eropah, ruang legar hotel mewah, pejabat perniagaan yang gah dan terkemuka, restoran lima bintang serta kediaman bangsawan dan orang-orang kenamaan.

Bagaimanapun, Pengarah Urusan, Teras Satuniaga Holdings Sdn Bhd, Suzool Fadli Suradi mahu membuktikan bahawa sofa Chesterfield bukan hanya sesuai di kediaman diraja atau mahligai mewah tetapi juga masih mampu mengekalkan ciri eksklusifnya walau di rumah biasa.

Beliau berkata, sofa keluaran Royale Chesterfield bukan sahaja berfungsi sebagai tempat duduk di ruang tamu, sebaliknya ia medium ekspresi diri status pemiliknya yang tersendiri serta mempunyai sejarah dan mampu bercerita pelbagai kisah mengenai sofa berkenaan.

“Perabot berjenama Royale Chesterfield adalah representasi perabot yang dihasilkan dengan sempurna untuk kemewahan, keselesaan dan eksklusiviti tanpa menghilangkan nilai keasliannya.

“Selama lebih 10 tahun Royale Chesterfield membawa tema kemewahan yang boleh diserasikan di setiap kediaman rakyat di Malaysia dengan harga menarik dan mampu milik,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di galeri Royale Chesterfield di Bukit Jelutong di sini baru-baru ini.

Suzool Fadli atau lebih dikenali sebagai Roi berkata, sebelum ini syarikatnya hanya tertumpu kepada urus niaga eksport sofa Chesterfield namun pada 2011, perniagaannya semakin berkembang dan mula mendapat tempat di hati pencinta perabot Chesterfield tempatan walaupun bermula dengan modal yang terhad.

“Pada tahun 2011, kita mula agresif untuk mengembangkan dan mengukuhkan imej syarikat dan jenama Royale Chesterfield. Kita berpeluang membesarkan kilang di Seksyen 28, Shah Alam.

Artikel Berkaitan:

"Malah, kita mempunyai galeri di Ara Damansara sebelum berpindah ke kawasan Perindustrian Tekno Bukit Jelutong, Shah Alam, dengan saiz ruang galeri yang lebih besar untuk memudahkan pelanggan kita mempunyai banyak pilihan dan memilih sofa serta perabot yang sesuai dengan citarasa mereka.

“Bermula dengan nama Chesterfield sahaja tetapi pada tahun 2013, kita telah mendaftarkan jenama Royale Chesterfield di Daftar Myipo melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia kerana mahu rekaan kita mempunyai jenama tersendiri. Sejak itu, kita guna Royale Chesterfield sebagai jenama produk kita,” katanya.

Tambah beliau, Royale Chesterfield mula mengorak langkah dan sangat aktif menyertai ekspo pameran perabot sama ada di dalam mahu pun luar negeri.

“Royale Chesterfield adalah satu-satunya syarikat Bumiputera yang aktif menyertai ekspo perabot tempatan dan hanya menjual perabot reka bentuk Royale Chesterfield. Pada tahun lepas, kita telah menyertai 63 ekspo perabot di Malaysia selain di Brunei dan Turki.

“Dengan menyertai ekspo sebegini, kita dapat memasar produk ke seluruh negara dan mengembangkan jenama kita terutama di pasaran luar negara,” katanya.

Kualiti

Roi berkata, sama ada tema moden atau klasik, Royale Chesterfield memberi inspirasi dengan membawakan tema evergreen sesuai sepanjang masa dengan model paling berkualiti bagi pasaran Malaysia dan luar negara.

“Dengan dibaluti kulit mewah, gaya klasik malar segar, Royale Chesterfield menjadi barangan perabot yang sangat dicari pemilik rumah, hotel, agensi kerajaan dan serta syarikat swasta.

“Dengan peredaran zaman, sofa ini telah dimodenkan kaedah pembuatannya dan masih menjadi idaman semua peminatnya. Royale Chesterfield mengetengahkan kualiti paling premium bagi kategori yang tersendiri dengan harga berpatutan,” katanya.

Beliau berkata, Royale Chesterfield menitikberatkan soal kualiti khususnya dari segi material dengan hanya menggunakan kulit asli selain pemilihan kayu solid dan sebagainya.

Roi menunjukkan Sijil Logo Buatan Malaysia yang diperoleh Royale Chesterfield. - FOTO ROSLI TALIB
Roi menunjukkan Sijil Logo Buatan Malaysia yang diperoleh Royale Chesterfield. - FOTO ROSLI TALIB

“Kita mempunyai 124 reka bentuk sofa Chesterfield yang diperbuat daripada kulit asli manakala 240 reka bentuk untuk sofa Chesterfield fabrik dalam pelbagai warna, rekabentuk dan saiz.

"Bagaimanapun, kita memberi keutamaan kepada pelanggan untuk memilih atau mereka sofa atau perabot mengikut citarasa masing-masing.

“Pelanggan menjadi keutamaan kami. Justeru, kami akan memberikan layanan terbaik kepada mereka, beri penerangan tentang produk Royale Chesterfield bagi memastikan produk kita lebih eksklusif berbanding produk lain yang ada di pasaran.

“Sebab itu kita mengambil masa tiga hingga empat minggu untuk menghasilkan produk yang betul-betul berkualiti selain mahu memastikan rekaan itu betul-betul tulen,” katanya.

Kerjasama

Menurut Roi, Royale Chesterfield kini bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam mempromosikan Kempen Beli Barangan Malaysia.

Katanya, kebiasaannya pengguna lebih memandang tinggi produk keluaran antarabangsa sedangkan dari segi kualiti dan jenama, produk tempatan jauh lebih hebat sebenarnya.

“Justeru sebagai pengilang, kita mengambil inisiatif ini untuk menonjolkan produk kita selain mendidik pelanggan bahawa produk yang baik serta berkualiti sebenarnya ada di sekitar mereka.

“Begitu juga produk keluaran Royale Chesterfield kerana sebelum ini kebanyakan pelanggan menganggap produk kita diimport dari negara luar sedangkan 100 peratus jenama Royale Chesterfield adalah buatan Malaysia.

“Malah produk kita turut dieksport ke luar negara seperti United Kingdom, Kanada, Amerika Syarikat, Afrika Selatan selain China dan Indonesia,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berbangga apabila Royale Chesterfield merupakan syarikat perabot pertama menerima Sijil Logo Buatan Malaysia daripada KPDNHEP.

“Ramai beranggapan logo Buatan Malaysia senang diperoleh, sebenarnya tidak. Kita sangat berbangga Royale Chesterfield yang dimiliki anak tempatan mampu menghasilkan produk setaraf citarasa antarabangsa.

“Bagi mempromosikan kempen Beli Barangan Buatan Malaysia ini, kita menawarkan harga berserta potongan menarik kepada setiap pelanggan Royale Chesterfield.

“Bukan itu sahaja, setiap produk kita disertakan waranti sehingga lapan tahun selain mempunyai Sijil Ketulenan (Certificate of Authenticity) serta label jenama Royale Chesterfield itu sendiri yang tidak ada pada produk lain di pasaran,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa depan Roi berkata, Royale Chesterfield kini mempunyai dua cawangan iaitu di Bukit Jelutong, Shah Alam dan Kuala Terengganu dan beberapa lagi cawangan akan dibuka di Johor, Sungai Petani, Kedah, Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah.

“Selepas ini kita merancang untuk membuka beberapa lagi cawangan memandangkan kita mempunyai ramai pelanggan tetap di lokasi-lokasi ini.

"Sebagai pengusaha, kepuasan itu timbul apabila kita dapat meyakinkan produk kita setanding malah lebih baik dengan produk luar,” katanya.