Bimbang penangguhan elaun jejas pendidikan pelajar: iGuru

Mohd Azizee Hasan
A
A

SEREMBAN - Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) mendesak Kementerian Pendidikan supaya membayar segera elaun Bantuan Sara Hidup Pelajar (BSHP) kepada pelajar Kolej Matrikulasi dan Institut Perguruan Guru Kampus Pendidikan yang didakwa lewat sebelum ini.

Presidennya, Mohd Azizee Hasan berkata, bantuan berkenaan perlu disegerakan supaya tidak menjejaskan pembelajaran mereka khususnya pelajar dari latar belakang keluarga B40.

"Elaun ini penting kerana dari duit itu mereka gunakan untuk beli keperluan pelajaran dan diri.

"Tindakan penangguhan ini dibimbangi akan jejaskan pendidikan pelajar yang rata-ratanya terdiri daripada Bumiputera," katanya kepada Sinar Harian.

Justeru itu, beliau berharap, menteri dapat berunding dengan Kementerian Kewangan untuk menyegerakan waran peruntukan berkenaan.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan, Kementerian Pendidikan sedang berusaha memastikan Bantuan Sara Hidup Pelajar (BSHP) disalurkan kepada pelajar Kolej Matrikulasi Kedah (KMK) dan kolej matrikulasi lain bagi Januari mengikut jadual.

Bagaimanapun berlaku sedikit kelewatan dalam pengagihan berbanding tempoh dijadualkan disebabkan penyaluran waran peruntukan awal tahun kepada kolej.

Dalam pada itu, Mohd Azizee berkata, iGuru berharap pihak kementerian dapat mempertimbangkan semula agar elaun ini dikekalkan supaya kualiti dan produktiviti pendidikan negara dapat dicapai.