DBKL kenal pasti punca pencemaran Taman Tasik Metropolitan Kepong

Keadaan Taman Tasik Metropolitan Kepong yang tercemar sebelum ini. - Foto Ihsan FB Lim Lip Eng
Keadaan Taman Tasik Metropolitan Kepong yang tercemar sebelum ini. - Foto Ihsan FB Lim Lip Eng
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pencemaran di Taman Tasik Metropolitan Kepong berkemungkinan berpunca daripada faktor pembangunan bersebelahan lokasi berkenaan yang menyebabkan kemerosotan kualiti air.

Unit Media Jabatan Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan hasil siasatan awal mendapati terdapat sedimen terampai dan kelihatan bangkai ikan terapung di permukaan air tasik berkenaan.

Menurutnya, bacaan insitu di lokasi berkenaan turut mendapati air tasik berkenaan kekurangan oksigen sehingga menyebabkan ikan-ikan tersebut mati.

"Lokasi terlibat merupakan sebahagian daripada kawasan taman tasik rekreasi yang berdekatan dengan tapak pembinaan itu," katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng membangkitkan mengenai insiden pencemaran itu yang menyebabkan ikan-ikan tasik tersebut mati.

Dalam pada itu, DBKL memaklumkan buat masa ini, pihaknya sedang melakukan kerja-kerja pembersihan dengan menggunakan kaedah melemparkan bola lumpur ke dalam tasik berkenaan bagi memastikan kandungan air berada pada tahap bersesuaian.

"Untuk jangka masa panjang, kerja-kerja memasang air pancut akan dilaksanakan bagi membantu meningkatkan oksigen di tasik tersebut," katanya.

Katanya, notis kompaun kesalahan di bawah AKT 1967, Seksyen 82 (5) turut dikeluarkan kepada pemaju terbabit kerana gagal mematuhi arahan ditetapkan.

Artikel Berkaitan: