X

Kindly register in order to view this article
!

Bekas guru tahfiz didakwa cabul pelajar

Tertuduh diiringi anggota polis keluar dari ruang mahkamah selepas selesai sebutan kes mencabul pelajar yang dihadapinya hari ini.
A
A

KUANTAN - [DIKEMASKINI] Seorang bekas guru sebuah sekolah tahfiz di Indera Mahkota di sini dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Kuantan hari ini atas dua tuduhan amang seksual terhadap seorang pelajar sekolah itu, 1 Disember lalu.

Tertuduh yang berusia 27 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan terhadap kedua-dua pertuduhan.

Berdasarkan kertas pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Syarifah Nurul Syuhada Tuan Mamat, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap pelajar berusia 11 tahun tujuh bulan di dalam bilik warden sekolah berkenaan kira-kira jam 11.30 malam, 1 Disember lalu.

Bagi tuduhan kedua, tertuduh didakwa menyuruh mangsa melakukan amang seksual terhadapnya di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Bagi kedua-dua tuduhan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14(a)Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan bagi setiap tuduhan.

Susulan pengakuan tidak bersalah tertuduh, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang diwakili peguam, Rohiza Zulkifli dalam rayuannya memohon agar wang jaminan itu dikurangkan dengan alasan dia kini hanya berniaga secara kecil-kecilan dengan pendapatan sekitar RM2,000 sebulan.

Hakim, Siti Aminah Ghazali membenarkan wang jaminan ke atas tertuduh dikurangkan kepada RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan sebelum menetapkan 25 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan semua kes tersebut.

Tertuduh juga diberi syarat tambahan agar tidak mengganggu mangsa dan saksi-saksi selain perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berdekatan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!