135 warga Penjara Pusat Koreksional Jasin positif Covid-19

Seramai 135 penghuni di Penjara Pusat Koreksional Jasin disahkan positif Covid-19 sejak semalam.
Seramai 135 penghuni di Penjara Pusat Koreksional Jasin disahkan positif Covid-19 sejak semalam.
A
A
A

MELAKA - Seramai 706 individu terdiri daripada 603 banduan serta 103 kakitangan di Penjara Pusat Koreksional Jasin telah disaring sejak Isnin dan daripada jumlah itu seramai 135 disahkan positif Covid-19.

EXCO Kesihatan dan Antidadah, Datuk Rahmad Mariman berkata, pada masa sama pihaknya masih menunggu keputusan saringan beberapa individu di Pusat Koreksional Jasin susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di kawasan itu selama 14 hari.

Menurutnya, setakat pada Selasa seramai 41 banduan sedang dirawat di Pusat Kuarantin Covid-19 Penjara Sungai Udang manakala 87 banduan masih dirawat di Hospital Melaka selain 119 tahanan di Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Machap Umboo Alor Gajah ditempatkan di MAEPS Serdang.

"Kita tidak boleh menampung keseluruhan di Hospital Melaka maka beberapa individu ditempatkan di Penjara Sungai Udang iaitu di Pusat Kuarantin Covid-19 yang berisiko rendah.

"Dalam tempoh dua, tiga hari ini tiada peningkatan kes di Penjara Jasin dan kita juga telah membuat saringan serta pengasingan dengan dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia," katanya ketika sidang akhbar di Bandaraya Melaka di sini, pada Selasa.

Pada Isnin, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pusat Koreksional Jasin termasuk kuarters kakitangannya, dekat Melaka selama 14 hari bermula pada Selasa.

Mengulas lanjut Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, Pusat Koreksional Jasin tidak lagi menerima kemasukan banduan baharu yang sebelum ini menjadi lokasi transit banduan-banduan penjara yang membuat saringan sebelum dihantar ke penjara lain.

"Dalam tempoh ini seramai 20 petugas dari Pusat Kesihatan Daerah Jasin bersiap sedia dan 35 petugas kesihatan bertugas setiap masa di Jasin," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!