Penjelasan isu kartel daging esok: Zulkifli

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Al Bakri. - Foto Bernama
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Al Bakri. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri akan mengeluarkan kenyataan mengenai isu kartel daging pada Rabu.

Beliau berkata, kini pihaknya sedang mendapatkan maklumat berkaitan dengan lebih tepat.

"Hari ini saya akan dapatkan maklumat berkaitan. Saya perlukan maklumat yang tepat mengenai masalah ini. Kita tidak perlu terburu-buru menyebarkannya, tetapi (lebih penting), mengatasi masalah ini dengan fakta.

"Saya akan mengeluarkan kenyataan bertulis atau lisan mengenai perkara ini Insya-Allah," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-37 di Menara Tabung Haji di sini, pada Selasa.

Beliau mengulas mengenai tindakan lanjut susulan laporan kartel yang mendalangi penyeludupan daging import dari negara sumber tidak sah termasuk diragui status halalnya.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya sentiasa bersedia bekerjasama dengan agensi lain bagi proses siasatan.

Beliau juga turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan berita yang belum disahkan untuk mengelakkan kekeliruan.

Terdahulu, Zulkifli dalam satu sidang akhbar pada Isnin meminta mana-mana pihak yang mengesan sebarang manipulasi tanda halal didalangi kartel daging menyalurkan maklumat terperinci kepada pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga menegaskan kerajaan akan mengambil tindakan sedaya upaya sekiranya berkaitan sebarang isu menyentuh halal dan haram.