Cubaan seludup syabu RM5 juta di sempadan gagal

Kamaruszaman (tengah) menunjukkan dadah jenis syabu yang disembunyikan dalam bungkusan teh Cina pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Johor, Johor Bahru pada Selasa.
Kamaruszaman (tengah) menunjukkan dadah jenis syabu yang disembunyikan dalam bungkusan teh Cina pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Johor, Johor Bahru pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Johor mematahkan cubaan menyeludup dadah disyaki syabu seberat 100 kilogram bernilai RM5 juta dalam sebuah bot di Pelabuhan Tanjung Pelepas di sini semalam.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim, Laksamana Muda Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata, jenayah itu dikesan sekitar jam 9.45 malam oleh tim risik Maritim menerusi Ops Jaksa dalam serbuan selepas mengesan sebuah bot fiber yang mencurigakan.

Katanya, pihaknya mengesyaki bot itu milik penyeludup yang sedang bergerak keluar dari muara Sungai Boh ke perairan Tanjung Piai disyaki ke sempadan Malaysia dan Indonesia.

"Menyedari kehadiran bot ronda Maritim, bot fiber tersebut memadamkan lampu serta memecut laju ke kawasan paya bakau berhampiran. Seorang suspek bertindak terjun ke laut sebelum melarikan diri ke dalam kawasan paya bakau.

"Suspek meninggalkan bot pada kedudukan lebih kurang 0.5 batu nautika barat daya Pelabuhan Tanjung Pelepas," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Johor di sini hari ini.

Kamaruszaman berkata, anggota bot ronda Maritim kemudian merapat ke bot fiber yang ditinggalkan itu dan menemukan muatan empat beg pakaian dan satu kotak.

"Pemeriksaan lanjut ke atas beg dan kotak itu mendapati terdapat 98 paket bungkusan teh Cina yang mengandungi serbuk kristal dipercayai dadah jenis syabu," katanya.

Menurutnya, setiap bungkusan teh Cina itu dianggarkan seberat satu kilogram dan bot fiber dan muatan itu dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Johor.

Artikel Berkaitan:

"Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM 5.1 juta merangkumi lebih kurang 100 kilogram dadah dipercayai jenis syabu serta sebuah bot fiber biru tanpa nombor pendaftaran dan satu unit enjin Yamaha 25 kuasa kuda.

"Rampasan ini merupakan kejayaan kali keenam dan terbesar APMM Johor bagi tahun ini," katanya.

Kamaruszaman berkata, pihaknya sedang menyiasat dari mana bekalan dadah itu diperoleh termasuk sama ada mempunyai kaitan rampasan dadah di Pulau Pinang pada 3 Disember lalu yang bernilai RM10.53 juta iaitu rampasan terbesar setakat ini pada tahun ini.