Covid-19 tinggalkan kesan berpanjangan ke atas industri pembinaan

Peneraju industri pembinaan perlu menilai semula cara tradisional mereka melakukan sesuatu dan mengamalkan anjakan paradigma agar kekal berdaya maju dalam jangka masa panjang. - Foto 123RF
Peneraju industri pembinaan perlu menilai semula cara tradisional mereka melakukan sesuatu dan mengamalkan anjakan paradigma agar kekal berdaya maju dalam jangka masa panjang. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pandemik Covid-19 di negara ini telah meninggalkan kesan yang berpanjangan ke atas industri pembinaan dengan penggantungan serta kelewatan projek dan kos lebihan yang turut merangkumi lebih 4,000 jangkitan di pelbagai tapak kerja setakat 21 Disember menjadikan ianya amat terdedah.

Rekod Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menunjukkan nilai projek pembinaan yang dianugerahkan jatuh 42 peratus kepada RM55.3 bilion bagi tempoh Januari hingga Oktober 2020 berbanding RM94.6 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ahmad 'Asri Abdul Hamid berkata, dianggarkan industri pembinaan mengalami kerugian kira-kira RM11.6 bilion dalam tempoh 18 Mac (ketika Perintah Kawalan Pergerakan bermula) hingga 14 April tahun ini dan RM6.9 bilion lagi direkodkan berikutan pembukaan semula 13 subsektor dari 15 April hingga 1 Mei 2020.

"Kerugian dianggarkan daripada nilai gaji, bahan binaan, sewa jentera, pengurusan projek termasuk keuntungan yang hilang apabila industri tidak dibenarkan beroperasi.

"Rekod kami menunjukkan menjelang akhir Ogos tahun ini, hanya 1.0 peratus tapak pembinaan tidak beroperasi. Bagaimanapun, angka itu meningkat sedikit (setakat bulan lalu) dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (EMCO) di Kedah dan Sabah.

"Beberapa tapak yang masih beroperasi tidak dapat berjalan pada kapasiti penuh. Antara sebab tapak pembinaan tidak dapat berfungsi sepenuhnya adalah ketiadaan pekerja, bahan dan modal termasuk kebimbangan risiko jangkitan," katanya kepada Bernama.

Berdasarkan pemeriksaan tapak CIDB, sejumlah 8,004 tapak pembinaan di seluruh negara telah diperiksa dari 20 April hingga 21 Disember 2020, sebanyak 79 atau lebih kurang satu peratus tapak pembinaan didapati tidak beroperasi.

"Rekod kami menunjukkan menjelang akhir Ogos, hanya 1.0 peratus pembinaan masih ditutup. Bagaimanapun, angka itu meningkat sedikit dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (EMCO) di Kedah dan Sabah.

Artikel Berkaitan:

"Beberapa tapak yang telah dibuka, bagaimanapun masih tidak dapat beroperasi pada kapasiti penuh. Antara sebab hal ini terjadi adalah ketiadaan pekerja, bahan dan modal termasuk juga kebimbangan risiko jangkitan," katanya.

Dengan peningkatan kes di tapak pembinaan, CIDB telah meningkatkan pemantauan serta pemeriksaan tapak di seluruh negara melalui jawatankuasa penguatkuasaan tapak pembinaan antara agensi, yang merangkumi Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Tenaga Kerja Raya termasuk pihak berkuasa tempatan.

Sejak 20 April lepas, CIDB telah menjalankan 14, 025 pemeriksaan tapak, yang secara purata melibatkan kira-kira 1,400 pemeriksaan sebulan dan mengeluarkan amaran, termasuk menghentikan perintah kerja, ke atas 800 tapak pembinaan kerana mereka didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard PKP.

Pergerakan pekerja antara tapak pembinaan telah dikenal pasti sebagai punca utama penularan Covid-19 di tapak pembinaan. - Foto Bernama
Pergerakan pekerja antara tapak pembinaan telah dikenal pasti sebagai punca utama penularan Covid-19 di tapak pembinaan. - Foto Bernama

"Aspek kritikal yang perlu dilihat ketika menangani Covid-19 yang merebak di tapak pembinaan ini adalah keadaan tapak pembinaan, penginapan pekerja dan pergerakan mereka dari satu tapak ke tapak yang lain.

"Malah, pergerakan pekerja antara tapak pembinaan telah dikenal pasti sebagai punca utama penularan Covid-19 di tapak pembinaan. Kluster Damanlela adalah contoh ini, sehingga menyebabkan lima projek pembinaan terjejas," katanya.

Sebagai respons kepada gelombang ketiga, yang membabitkan lonjakan kes Covid-19 di tapak pembinaan, satu sesi penglibatan dengan pihak industri telah dianjurkan dan dipengerusikan oleh Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof untuk mencari penyelesaian bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Sesi maya ini dihadiri wakil daripada 46 agensi kerajaan, persatuan industri yang mewakili pemaju, kontraktor, perunding dan pembekal bahan binaan untuk mendapatkan kata sepakat mengenai cara membendung jangkitan Covid-19 di tapak pembinaan.

Berdasarkan konsensus yang dibuat semasa sesi penglibatan itu, Majlis Keselamatan Negara telah mengumumkan bahawa adalah wajib bagi semua pekerja asing dalam sektor pembinaan di negeri-negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk diuji bagi mengesan Covid-19 menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK), yang jauh lebih murah daripada kit reaksi rantai polimerase (PCR).

Penangguhan pelaksanaan sistem levi pekerja asing pelbagai peringkat hingga 1 Julai 2021, yang pada asalnya dijadualkan berkuat kuasa menjelang 1 Januari 2021, turut menyediakan ruang pernafasan tambahan untuk industri itu untuk masuk ke fasa pemulihan.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, langkah itu diambil selepas mempertimbangkan kesan pandemik Covid-19 terhadap pertumbuhan industri dan operasi perniagaan.

Sementara itu, sebanyak RM15 bilion telah diperuntukkan dalam Belanjawan 2021 bagi membiayai projek infrastruktur utama seperti Transit Aliran Massa (MRT3), Projek Landasan Berkembar Gemas-Johor, Sistem Transit Rapid JB-Woodlands, Landasan Berkembar Lembah Klang (Fasa 1), Lebuhraya Pan Borneo, Laluan Rel Pantai Timur dan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3).

Ahmad 'Asri berkata, peruntukan itu sememangnya merupakan satu langkah yang amat dialu-alukan kerana ia akan memberi rangsangan kepada industri pembinaan untuk pulih daripada kelembapan yang dialami selepas pandemik Covid-19 dan PKP.

"Saya percaya belanjawan yang diperuntukkan untuk pembangunan projek pembinaan utama akan dirasai di semua industri berkaitan. Industri pembinaan diketahui mempunyai dua kali kesan pengganda dalam ekonomi. Ini bermakna setiap RM1 yang dibelanjakan dalam industri pembinaan akan dapat menjana RM2 dalam sektor ekonomi lain yang berkaitan seperti pembuatan, kewangan dan logistik, antara lain.

"Ini pastinya merupakan langkah yang betul bagi merangsangkan lagi ekonomi. Di samping itu, perbelanjaan ke arah projek infrastruktur utama akan menjadi pelaburan jangka panjang yang baik untuk memupuk pembangunan fizikal dan ekonomi negara," katanya.

Kerajaan juga telah memperuntukkan sejumlah RM2.5 bilion untuk projek-projek yang akan diberikan kepada kontraktor kecil dan sederhana (gred G1 hingga G4), ini akan membantu mereka dalam pemulihan pasca-Covid-19.

Di atas peruntukan tersebut, terdapat juga pelbagai projek yang diperuntukkan di bawah pelbagai kementerian yang akan merangsang lebih banyak aktiviti dalam industri pembinaan.

Ahmad 'Asri menjelaskan, cara terbaik untuk industri pembinaan bergerak ke hadapan pasca-Covid-19 adalah dengan memastikan kontraktor tidak lagi bergantung kepada tenaga kerja asing.

"Pandemik Covid-19 telah menunjukkan disebabkan penggunaan teknologi yang agak rendah, sektor pembinaan terpaksa bergantung kepada buruh asing yang tidak mahir.

"Peneraju industri pembinaan perlu mengguna pakai teknologi seperti sistem bangunan perindustrian, mekanisasi serta automasi untuk meningkatkan kualiti, keselamatan, kemampanan dan produktiviti projek pembinaan mereka.

"Dengan melakukan ini, mereka akan dapat menarik lebih ramai pekerja tempatan yang mahir dan meningkatkan produktiviti," katanya.

Ahmad 'Asri berkata, peneraju industri pembinaan terpaksa menilai semula cara tradisional mereka melakukan sesuatu dan mengamalkan anjakan paradigma agar kekal berdaya maju dalam jangka masa panjang.

"Pada masa yang sama, industri perlu meminimumkan kebergantungan kepada pekerja asing dan sebaliknya, menerima teknologi baharu serta meningkatkan tenaga kerja tempatan mereka supaya mereka dapat berkembang maju dalam normal baharu," katanya. - Bernama