Lebih separuh mangsa banjir dibenar pulang ke rumah

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat (kiri) menyertai misi bantuan membersihkan kediaman mangsa banjir di Rumah Mampu Milik (RMM) Telok Kalong, Kuala Terengganu yang dinaiki air pada Isnin. - Foto ihsan FB Haji Hanafiah Mat
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat (kiri) menyertai misi bantuan membersihkan kediaman mangsa banjir di Rumah Mampu Milik (RMM) Telok Kalong, Kuala Terengganu yang dinaiki air pada Isnin. - Foto ihsan FB Haji Hanafiah Mat
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Lebih separuh daripada mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu dibenarkan pulang ke rumah hari ini.

Sehingga jam 6 petang tadi, terdapat seramai 1,999 mangsa daripada 519 keluarga masih ditempatkan di 24 buah PPS di dua daerah iaitu Kemaman dan Dungun.

Jumlah itu menunjukkan penurunan mendadak mangsa banjir berbanding seramai 7,780 mangsa daripada 1,822 keluarga yang dicatatkan sehingga jam 8 pagi tadi.

Sehingga kini, daerah Kemaman merekodkan seramai 1,475 mangsa daripada 372 buah keluarga ditempatkan di 11 buah PPS, manakala daerah Dungun merekodkan seramai 524 mangsa daripada 147 keluarga masih berada di 13 buah PPS.

Sementara itu, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, penurunan jumlah mangsa banjir dipengaruhi keadaan cuaca semasa yang cerah dan mendung serta tiada hujan lebat turun sejak lewat malam pada Ahad.

"Jumlah PPS yang ditutup juga semakin bertambah sejak tengahari tadi menjadikan hanya tinggal sebanyak 24 buah PPS dibuka setakat ini.

"Jumlah mangsa banjir juga menunjukkan penurunan kepada 1,999 mangsa berbanding rekod seramai 4,139 yang dicatatkan pada jam 4 petang tadi," katanya hari ini.

Banjir di keseluruhan negeri Terengganu kini telah memasuki gelombang keempat dan merupakan gelombang kedua bagi daerah Kemaman.

Artikel Berkaitan: