Lelaki bersongkok curi duit tabung masjid

Tabung besi Masjid Kampung Sungai Terap, Tanjong Karang dipecah pencuri dalam kejadian Sabtu lalu.
Tabung besi Masjid Kampung Sungai Terap, Tanjong Karang dipecah pencuri dalam kejadian Sabtu lalu.
A
A
A

TANJONG KARANG - Gelagat dua lelaki termasuk seorang daripada mereka memakai songkok dirakam kamera litar tertutup (CCTV) selepas cuba mencuri wang tabung masjid dengan memasuki bilik imam di Masjid Kampung Sungai Terap di sini Sabtu lalu.

Rakaman CCTV berdurasi satu minit 21 saat yang tular di Facebook itu menunjukkan dua suspek terbabit memakai pelitup muka.

Nazir Masjid, Mohd Ramli Arshad berkata, kejadian kecurian yang berlaku dua kali itu disedari ahli jawatankuasa surau selepas melihat CCTV.

“Berdasarkan rakaman CCTV menunjukkan seramai lima individu masuk ke masjid itu pada jam 4.30 pagi pada 17 Disember lalu manakala tiga individu dipercayai pelaku sama dirakam CCTV menceroboh masuk ke masjid itu pada jam 3.30 pagi, 19 Disember lalu,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Mohd Ramli berkata, kejadian pertama telah menyebabkan lima tabung masjid termasuk sebuah tabung anak yatim dipecah pihak tidak bertanggungjawab.

“Mereka memecah kelima-lima tabung yang dikunci dengan mangga dan mengambil wang yang dianggarkan bernilai RM200.

“Kejadian kedua berlaku apabila mereka memasuki bilik imam dan mengalihkan peti besi ke ruang solat masjid dan mematikan suis CCTV di dalam bilik itu.

“Kita dapati tabung besi itu sudah dileraikan dan berselerakan di ruang solat semasa kami ingin menunaikan solat Subuh dengan anggaran kerugian sebanyak RM50,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, penjenayah terbabit dipercayai masuk melalui pintu gelongsor masjid yang tidak berkunci.

Mengulas lanjut katanya, ia merupakan kejadian terbaharu selepas masjid tersebut dipecah masuk tahun lalu.

"Kami sudah mengambil beberapa langkah berjaga-jaga termasuk membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Selangor pada jam 7.45 pagi pada Sabtu lalu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan,” katanya.