Tiada faedah anjur Grand Final Gala Night

NURIDAH
NURIDAH
A
A
A

SHAH ALAM - Muslimat Pas membantah sekeras-kerasnya penganjuran Grand Final Gala Night bagi Miss/Mrs Plus World Malaysia 2020 yang dijadualkan berlangsung di negara ini pada 2 Januari depan.

Ketua Muslimat Pas, Senator Nuridah Mohd Salleh berkata, penganjuran pertandingan ratu cantik merupakan satu acara yang mengeksploitasi kecantikan wanita demi menarik perhatian umum.

"Secara tidak langsung penganjuran acara ini seolah-olah kita merelakan wanita Malaysia dijadikan objek perhiasan di pentas. Sudah tentu ia bertentangan dengan usaha kerajaan yang sentiasa membina masyarakat yang berakhlak dan mempunyai adab terpuji.

"Umum mengetahui tiada faedah diperolehi melalui penganjuran aktiviti sedemikian. Malah ia mengundang gejala sosial yang seharusnya kita elakkan," katanya menerusi kenyataanya pada Isnin.

Nuridah berkata, kecantikan kurniaan ALLAH haruslah digunakan sebaiknya untuk manfaat manusia sejagat bukan dipertandingkan.

"Wanita bukan piala yang diukir dan dipamerkan buat tatapan umum.

"Tambahan lagi, dalam keadaan penyakit Covid-19 yang masih belum surut peningkatan jangkitan, program yang menghimpunkan ramai orang juga seboleh-bolehnya dielakkan walaupun penganjur berjanji melaksanakan prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Muslimat Pas berharap kerajaan Malaysia mempertimbangkan untuk membatalkan penganjuran tersebut demi memberi isyarat kepada masyarakat untuk tidak lagi menganjurkan pertandingan seumpama itu.

Artikel Berkaitan: