United layak cabar Liverpool

Pemain United menampilkan aksi cemerlang ketika membelasah Leeds United 6-2.
Pemain United menampilkan aksi cemerlang ketika membelasah Leeds United 6-2.
A
A
A

BEKAS pemain Manchester United, Roy Keane melabel The Red Devils kini mampu menjadi pencabar Liverpool selepas membelasah Leeds United 6-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford awal pagi Isnin.

Menurutnya, United kini berada pada tahap terbaik untuk cuba menjadi pasukan pencabar sekiranya mampu mengekalkan rentak keputusan positif sehingga penghujung saingan liga.

"Mereka sudah memenangi perlawanan dan berada dalam prestasi terbaik dan itu yang sepatutnya mereka lakukan. United berada di posisi yang betul dengan pertimbangan betapa perlahannya mereka pada permulaan liga.

"Jika United mampu mencatatkan lebih banyak kemenangan di laman sendiri, saya tidak fikir ada alasan kenapa mereka tidak boleh bersaing di kelompok teratas liga.

"Bagi saya, Liverpool masih yang terbaik, tetapi tidak ada alasan kenapa United tidak menggunakan peluang ini untuk mencabar Liverpool," katanya.

Skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu berada di kedudukan ketiga EPL selepas tidak tewas dalam tujuh perlawanan berturut-turut termasuk ketika menewaskan Leeds United.

Dalam masa sama, Keane turut menyifatkan kritikan yang dilemparkan banyak pihak kepada United sebelum ini menjadikan pasukan itu lebih baik.

"Dua bulan kebelakangan ini, United dikritik dengan teruk terutamanya kerana rekod di laman sendiri selain kekecewaan di saingan Eropah.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga mengkritik banyak perkara dalam pasukan United dan lihatlah sekarang mereka telah membuktikan bahawa kritikan itu silap," katanya.