Fazli cipta kejutan raih gelaran juara

Fazli memenangi Pusingan 6 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS di Litar Utara Sepang pada Ahad.
Fazli memenangi Pusingan 6 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS di Litar Utara Sepang pada Ahad.
A
A
A

EMPAT tahun tanpa kemenangan dalam kategori perdana Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS, namun pelumba berpengalaman Ahmad Fazli Sham tidak pernah kenal erti putus asa.

Pada Pusingan 6 yang berlangsung di Litar Utara Sepang pada Ahad, pelumba pasukan ONEXOX TKKR SAG Team itu membuktikan usia bukan penghalang dengan adanya azam dan semangat yang kental.

Fazli yang telah mengumumkan persaraannya daripada dunia persaingan Cub Prix pada tahun 2019, kembali beraksi dalam Pusingan 4 musim ini apabila dipanggil oleh pasukan ONEXOX TKKR SAG Team untuk menggantikan Nazirul Izzat Bahauddin yang terpaksa menarik diri akibat kecederaan di tangan.

Pengalaman Fazli sebagai seorang pelumba yang sudah mengharungi pelbagai situasi kompetitif semakin menyerlah. Fazli bijak mengawal keadaan dalam situasi kucar-kacir perlumbaan sepanjang 11 pusingan CP150. Memulakan perlumbaan dari barisan kedua, Fazli muncul di petak pertama dalam pusingan kedua dan berjaya membimbing kelompok pertama dalam lima daripada 11 pusingan.

Pada pusingan terakhir, Fazli mengekori rapat di belakang rakan sepasukan Mohd Muzakkir Mohamed sehingga ke selekoh terakhir dan berjaya memintas Muzakkir pada saat-saat terakhir untuk mencatat kemenangan pertamanya musim ini dengan catatan masa 14 minit 36.045 saat (s).

“Keputusan Pusingan 5 menunjukkan bahawa kami memerlukan strategi baharu untuk menyekat kemaraan Helmi Azman dan Azroy Hakeem Anuar dari terus mendominasi kategori CP150.

"Pada pertengahan perlumbaan tadi, saya sudah mula mengintai ruang untuk menyelinap. Saya berasa puas hati strategi pasukan kami menjadi di Pusingan 6,” kata Fazli.

Kegembiraan pasukan ONEXOX TKKR SAG Team berlipat-ganda apabila Mohd Muzakkir Mohamed turut menaiki podium CP150 di tempat kedua.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Syafiq Rosli yang mewakili pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-Maju Motor sekali lagi mencipta kejayaan di Litar Utara Sepang dengan kemenangan kedua berturut-turut dalam kategori CP125.

Kemenangan tersebut dicatat dengan masa 11’27.056s. Tempat kedua dimenangi Mohd Adib Rosley dari pasukan IPONE Yamaha YY Pang Racing Team manakala Abdul Muhaimin Roslan menduduki tempat ketiga.

Dalam kategori Wira KBS, Mohd Aeiman Hafidz Shahril dari pasukan ONEXOX Racing Team turut menyambar kemenangan kedua berturut-turut dengan catatan masa 8’37.896s.

Kemenangan ketiga musim ini membolehkan Aeiman merapatkan jurang dengan pendahulu kejuaraan, Rahimi Nabil Razu (PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing).

Dengan berbaki dua pusingan sebelum tamatnya musim 2020, hanya 14 mata kejuaraan membezakan kedudukan Aeiman di tangga kedua dengan Rahimi di tangga teratas.