Uncle Kentang cari sukarelawan wanita di Puchong

Kuan Chee Heng
Kuan Chee Heng
A
A
A

PUCHONG - Aktivis Masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang memohon bantuan untuk mencari sukarelawan wanita bagi membantunya menyelesaikan isu berkaitan golongan itu.

Chee Heng berkata, beliau bersimpati dengan nasib wanita daripada keluarga kurang berkemampuan ditemuinya yang didapati tidak mempunyai pakaian dalam yang elok dan kekurangan tuala wanita untuk digunakan.

Menurutnya, beliau memerlukan sukarelawan wanita kerana bantuan dapat diberikannya terhad selain petugasnya kebanyakan adalah lelaki.

“Saya tak kan nak bawa mereka beli pakaian dalam atau beri tuala wanita... jadi kena cari beberapa sukarelawan wanita yang ada kenderaan, ada keinginan nak berbakti sebagai manusia... untuk membantu mereka.

“Mak ayah (penerima) mungkin orang susah dan tak mampu... kita yang mampu ini lah bantu mereka.... jangan pandang remeh... kerana dengan keyakinan, anak gadis kecil dapat membentuk hidup dan pemikiran mereka ke arah positif,” katanya.

Chee Heng berkata, beliau memerlukan sukarelawan wanita di Puchong yang berani mempamerkan nombor telefon mereka di Facebook untuk menangani isu wanita seperti agihan tuala wanita dan masalah wanita.

“Kalau anda berminat jadi sukarelawan membantu kita di Puchong untuk bahagian wanita sahaja... mungkin bawa anak gadis pergi beli pakaian dalam, sila mesej saya di 0122732148.

“Jangan pula ada yang kata saya kurang cerdik kerana sampai pakaian dalam pun nak jaga,” katanya menerusi kenyataan dimuat naik di Facebooknya pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Chee Heng berkata, meskipun isu itu kelihatan remeh bagi segelintir pihak namun baginya ia penting bagi memupuk keyakinan dalam diri seorang gadis.

“Ia amat penting kerana ramai gadis kita tak mampu pakai pakaian dalam yang elok... tuala wanita tiada.... maka kita harus mendidik mereka menjadi seorang gadis yang unggul dan ada yakin.

“Kalau baju dalam pun lusuh dan buruk ia tak bagi keyakinan hidup pada seorang anak gadis yang sedang matang,” katanya.

Bagaimanapun, Chee Heng berkata, sukarelawan yang menawarkan diri itu nanti perlulah seseorang yang boleh menyimpan rahsia dan aib mereka yang dibantu.

“Sukarelawan ini zip mulut mereka dan tak boleh dedahkan sesuka hati pemohon yang susah. Tolonglah jadi sukarelawan yang berdisiplin, berhati mulia dan mulut zip dengan simen.

“Jangan nanti ada berita kata alah, dia tu tuala wanita pun nak mintak orang. Saya sangat berharap kita jaga aib mereka yang susah,” katanya.