Konflik undang-undang ‘lese majeste’ Thailand

Undang-undang 'lese majeste' diwujudkan sejak tahun 1908 bagi melindungi raja, permaisuri atau pewaris takhta daripada sebarang kritikan. - AFP
Undang-undang 'lese majeste' diwujudkan sejak tahun 1908 bagi melindungi raja, permaisuri atau pewaris takhta daripada sebarang kritikan. - AFP
A
A
A

BANGKOK - Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat menegur tentang penggunaan undang-undang menghina raja atau lebih dikenali sebagai 'lese majeste' yang digunakan sebagai alasan untuk menahan aktivis-aktivis yang menuntut pembaharuan dalam institusi beraja Thailand.

Undang-undang itu diwujudkan bagi melindungi Raja Maha Vajiralongkorn dan keluarga diraja daripada menerima kritikan selepas ia diperkenalkan di negara tersebut pada tahun 1908.

Menurut laporan akhbar Bangkok Post, 'lese majeste' merupakan satu isu sangat sensitif yang dielakkan untuk diperkatakan oleh masyarakat kerana sesiapa yang didapati bersalah menghina atau mengancam raja, permaisuri atau pewaris takhta boleh dipenjarakan antara tiga hingga 15 tahun.

Lebih 700 kes berkaitan dengan undang-undang 'les majeste' dilaporkan telah difailkan oleh polis sejak rampasan kuasa dilakukan oleh Tentera Diraja Thailand pada tahun 2006 yang menyingkirkan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra.

Kira-kira 200 kes berkaitan kes menghina Raja Thailand telah difailkan apabila parti Demokrat memerintah negara itu dari tahun 2008 hingga 2011.

Sebanyak 180 kes lagi difailkan di bawah pentadbiran parti Pheu Thai dari tahun 2011 hingga 2014 ketika di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri wanita pertama, Yingluck Shinawatra yang merupakan adik kepada Thaksin.

Sejak Ogos lalu, siri tunjuk perasaan dianjurkan oleh para pelajar universiti bagi menggesa kerajaan menunaikan 10 tuntutan pembaharuan terhadap institusi beraja Thailand.

Kumpulan pelajar itu turut mendesak undang-undang 'lese majeste' dihapuskan namun, kerajaan Thailand mempertahankan keperluannya untuk melindungi institusi beraja.

Artikel Berkaitan:

Tunjuk perasaan yang menuntut pembaharuan institusi beraja di Thailand bermula sejak Julai lalu. - AFP
Tunjuk perasaan yang menuntut pembaharuan institusi beraja di Thailand bermula sejak Julai lalu. - AFP

Tetapi, tuntutan kumpulan protes itu tidak meminta institusi beraja Thailand dimansuhkan.

Ekoran tunjuk perasaan itu, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha terpaksa melaksanakan perintah berkurung di Bangkok dan seramai 35 penunjuk perasaan bakal didakwa di bawah undang-undang 'lese majeste'.

Sebelum perintah berkurung itu dilaksanakan, negara tersebut juga berdepan dengan siri protes antikerajaan yang mendesak pengunduran Prayut, yang juga bekas ketua tentera dan pernah melakukan rampasan kuasa pada tahun 2014.

Demonstrasi mega menggesa Prayut meletakkan jawatan bermula pada pertengahan Julai lalu berikutan penunjuk perasaan mendakwa pentadbirannya melakukan penindasan ke atas demokrasi, isu ekonomi dan ketidakcekapan dalam pengurusan pandemik Covid-19.

Perintah berkurung yang dikeluarkan pada 15 dan 16 Oktober lalu bagi menghalang tunjuk perasaan para pelajar itu bagaimanapun ditarik balik pada 22 Oktober lalu.

Tunjuk perasaan bagi menuntut pembaharuan institusi beraja itu telah menyebabkan penahanan sejumlah aktivis yang akan didakwa di bawah undang-undang 'lese majeste'.

Justeru, jurucakap ahli Jawatankuasa Hak Asasi Manusia PBB, Ravina Shamdasani meminta supaya undang-undang tersebut dipinda.

Dalam kenyataannya, Shamdasani menzahirkan kekecewaan kerana terdapat banyak kes menghina raja difailkan dan beliau berasa terkejut kerana seorang remaja berumur 16 tahun turut didakwa melalui undang-undang kontroversi itu.

Difahamkan, Mahkamah Juvana Thailand enggan mengikut arahan polis untuk menahan remaja itu sebaliknya dia diberikan jaminan bersyarat sehingga kesnya dibicarakan.

Jika disabit kesalahan, pelajar terbabit yang didakwa menyertai perhimpunan antikerajaan di Bangkok pada 29 Oktober lalu boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun.

Thailand pernah menyaksikan perubahan institusi beraja menerusi Revolusi Siam pada tahun 1932.

Ketika itu, parti Khana Ratsadon atau parti Rakyat yang merupakan parti politik pertama di negara tersebut melancarkan revolusi tersebut bagi menamatkan pemerintahan mutlak raja.

Walaupun pemerintahan mutlak tidak lagi dilaksanakan di negara itu, namun undang-undang 'lese majeste' masih ‘kekal berkuasa’ di negara tersebut.

Nampaknya, isu pembaharuan dalam institusi beraja Thailand masih belum menemui jalan penyelesaian.

Tetapi, nasib penunjuk perasaan yang ditahan di bawah undang-undang 'lese majeste' sudah mula mendapat pembelaan daripada badan dunia.