Menangani ekonomi 24 jam

A
A
A

DALAM dunia kewangan antarabangsa yang tidak pernah tidur, perkembangan politik sesebuah negara adalah antara faktor penentu yang dititikberatkan pelabur.

Walaupun ada pihak menguar-uarkan prestasi baik Bursa Malaysia kebelakangan ini, namun pemulihan itu tidak mampu memberi kesan kepada semua sektor dan pelosok ekonomi Malaysia, malah tidak menyentuh semua saham yang didagangkan.

Bermula dengan pembukaan pasaran saham New Zealand pada jam 10 pagi waktu tempatan (jam 5 pagi di Malaysia) pada hari bekerja dan bergerak ke arah barat tanpa henti, diikuti Australia, Tokyo (Jepun) dan Korea Selatan.

Bursa Malaysia yang kelima dibuka, serentak dengan Hong Kong, Taiwan dan Singapura kerana kita berkongsi zon masa yang sama.

Pada waktu Pasaran Saham New Zealand atau Jepun menamatkan perniagaan harian, pasaran-pasaran di sebelah barat seperti India dan Asia Barat pula memulakan urus niaga.

Begitulah seterusnya sehingga ke Switzerland, Itali, Perancis, Jerman dan United Kingdom sebelum menyeberangi Lautan Atlantik ke New York, Chicago, Toronto dan sebagainya sebelum balik semula ke New Zealand.

Ada 60 buah pasaran saham utama di dunia dan di sinilah, pada setiap saat, pemodal dan spekulator membuat penilaian mengenai negara mana serta saham mana yang menjanjikan keselamatan dan keuntungan terbaik.

Ketidaktentuan politik sejak rampasan kuasa oleh Perikatan Nasional (PN) pada Februari lalu telah menyebabkan pelabur asing, khususnya yang membuat pelaburan jangka panjang menilai semula pendirian mengenai Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Bagi kebanyakan syarikat yang dahulunya melabur di Malaysia dengan membina kilang dan segala bentuk fasiliti perindustrian, alasan mereka adalah kerana pada waktu itu – dalam 20 hingga 40 tahun lalu – Malaysia menawarkan kestabilan politik, kewangan, mata wang dan perundangan terbaik di Asia Tenggara selepas Singapura.

Kini, syarikat-syarikat itu dan pesaing baharu mereka tidak lagi menganggap Malaysia mempunyai kelebihan, sebaliknya mereka melihat ke arah negara serantau yang ramai penduduk dan mempamerkan kestabilan politik jangka sederhana serta panjang.

Berita mengenai syarikat raksasa industri elektronik, komunikasi, pengkomputeran, logistik, automotif dan angkasa lepas memilih Indonesia, Vietnam, Thailand serta Singapura sebagai pusat pengeluaran serantau dan antarabangsa bukanlah mengejutkan.

Majoriti syarikat berkenaan adalah pengeluar dan pembekal massa barangan pengguna. Mereka tertarik dengan bilangan penduduk Indonesia seramai 268 juta orang, Vietnam (96 juta) dan Thailand (69 juta) walaupun pendapatan perkapita penduduk negara itu lebih rendah daripada kita.

Malaysia dengan penduduk seramai 33 juta orang tidak menarik lagi dari sudut pasaran dan kuasa membeli. Mungkin ramai orang kita tidak tahu Indonesia yang kini ada 52 juta penduduk kelas menengah telah dinaikkan ke taraf negara pendapatan menengah tinggi, sama dengan Malaysia oleh Bank Dunia pada Julai lalu.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) misalnya, telah mengenal pasti industri nilai tinggi seperti teknologi komposit, aeroudara, kelengkapan perubatan dan beberapa lagi sebagai pengganti kepada perusahaan yang tidak lagi berdaya maju kerana kos pengeluaran kita yang semakin meningkat.

Malangnya, kesan kekalutan rampasan kuasa politik menyebabkan naratif ekonomi hampir lenyap. Ia diburukkan lagi oleh keperluan merombak ekonomi secara tergesa-gesa untuk menangani isu jangka pendek akibat Covid-19. Disebabkan kerumitan ekonomi dan prospeks yang kurang meyakinkan, maka tentulah lebih baik jika kerajaan hari ini prihatin - mewajibkan menteri-menteri yang menjaga ekonomi, pelaburan dan perdagangan membentuk serta menguar-uarkan naratif ekonomi yang boleh meyakinkan pelabur dan memulihkan semangat rakyat jelata untuk berusaha.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara