X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 29 Jun 2022

Lelaki nyaris maut, kereta dihanyutkan arus

Pihak berkuasa dan penduduk menyelamatkan kenderaan itu daripada tenggelam. Foto: Ihsan pembaca
A
A

KEMAMAN - [DIKEMASKINI] Seorang lelaki nyaris maut apabila kereta yang dinaikinya dihanyutkan arus deras setelah meredah air di Jalan Air Putih-Chukai berhampiran Tol Chukai, di sini kira-kira jam 2.45 petang tadi.

Lelaki berusia 27 tahun itu bagaimanapun terselamat setelah kejadian disedari penduduk kampung yang menghubungi pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, lelaki berkenaan dipercayai dari Kuantan menghala ke Chukai, namun melalui jalan berkenaan yang ditutup pihak berkuasa kerana dinaiki air.

“Sebenarnya kawasan itu sudah dinaiki air sedalam 1.5 meter, dengan jarak kira-kira 100 meter. Kita juga telah meletakkan halangan dan notis bahawa kawasan itu tidak boleh dilalui kenderaan.

“Mangsa bernasib baik kerana penduduk kampung nampak dia hanyut dan tersangkut. Penduduk kampung kemudiannya menghubungi pihak berkuasa dan mengambil sampan, lalu menyelamatkannya yang ketika itu terperangkap di dalam kereta.

“Susulan itu juga, saya telah minta Tol Chukai ditutup terus bagi mengelakkan kenderaan melalui kawasan itu. Tol Chukai akan ditutup dari arah Utara Kuala Terengganu dan arah selatan jika dari Kuantan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Superintendan Hanyan Ramlan
Superintendan Hanyan Ramlan

Menurut Hanyan, kejadian itu adalah yang kedua kerana kejadian sama turut berlaku semalam (Jumaat) di Pondok Limau, Ibok kira-kira jam 2 pagi.

Ketika kejadian, polis yang kebetulan membuat rondaan untuk menyelamatkan mangsa banjir dipindahkan terserempak dengan lelaki berkenaan yang tersangkut di dalam kereta kerana melalui jalan yang sudah ditutup kerana dinaiki air.

“Dia cuba melintas tapi dihanyutkan arus hingga hampir masuk ke parit. Namun, dia tersangkut dan kebetulan polis yang sedang membuat rondaan menyelamatkannya.

“Kita harap kejadian sebegini tidak berulang dan saya minta orang ramai patuhi arahan dan notis dikeluarkan. Pada masa sama, ambil maklum maklumat berkaitan banjir dan laluan dinaiki air melalui media massa,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!