Enam individu ditahan disyaki terlibat judi haram

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Polis menahan enam individu disyaki terlibat dengan aktiviti judi haram “Holo” dalam Op Limau jam 10.45 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata, hasil risikan dan maklumat awam, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Bau bertindak menyerbu premis yang disyaki sebagai lokasi judi Holo tersebut.

“Dalam serbuan itu, polis merampas wang tunai sejumlah RM1,744 yang dipercayai hasil pertaruhan serta pelbagai peralatan perjudian yang digunakan.

“Aktiviti Holo ini dijalankan pada waktu malam bagi mengelakkan aktiviti mereka dihidu oleh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan di sini.

Kesemua individu yang berusia antara 31 hingga 52 tahun ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Tambah Poge, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang kegiatan judi haram diminta untuk tampil menyalurkan maklumat bagi memastikan daerah Bau bebas dari aktiviti perjudian. - Bernama

Artikel Berkaitan: