Wang lesap ditipu 'rakan'

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

KUANTAN - Seorang jurujual di sini kerugian RM5,000 gara-gara satu panggilan telefon yang disangka daripada rakannya, Rabu lalu.

Lelaki berusia 34 tahun itu menerima panggilan dari nombor tidak dikenali dan berdasarkan nada suara, mangsa menyangka pemanggil itu rakannya dan percaya apabila pemanggil tersebut memaklumkan telefonnya hilang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, pemanggil yang juga suspek meminta bantuan mangsa untuk meminjamkan wang RM5,000 untuk bayaran kepada kontraktor yang menjalankan ubah suai rumah dan berjanji wang itu akan dipulangkan dalam kadar segera.

"Bagi membantu 'rakannya' itu, mangsa membuat bayaran melalui pindahan wang ke akaun bank yang diberikan.

"Selepas bayaran itu dibuat, suspek menghubungi mangsa kembali dan meminta agar memasukkan sejumlah wang lagi," katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa mula curiga lalu mengambil keputusan untuk menemui sendiri rakannya itu.

"Rakannya menafikan perkara itu kerana dia tidak pernah menghubungi mangsa untuk meminjam wang.

"Syak dia telah ditipu, mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan, semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes itu bagi membantu siasatan.