X

Kindly register in order to view this article
!

Abdul Azeez mohon batal 12 tuduhan rasuah, pengubahan wang haram

Abdul Azeez Abdul Rahim
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim memohon untuk membatalkan 12 pertuduhan menerima rasuah berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah serta pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Peguam, Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Abdul Azeez berkata, pihaknya telah memfailkan permohonan tersebut di Mahkamah Tinggi pada Jumaat lepas (11 Disember).

"Alasan permohonan untuk membatalkan pertuduhan telah dikemukakan dalam afidavit tertuduh pertama (Abdul Azeez).

"Mahkamah telah menetapkan tarikh pengurusan kes berhubung permohonan itu pada 23 Disember ini, jadi kami mohon perbicaraan kes hari ini ditangguhkan," katanya pada prosiding perbicaraan kes Abdul Azeez dan abangnya Abdul Latif, 62, (tertuduh kedua) di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Adam Mohamed berkata, pihaknya telah menerima notis permohonan itu baru-baru ini dan tidak membantah permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan perbicaraan hari ini.

Azura berkata, mahkamah tidak menghalang mana-mana tertuduh dalam kes itu untuk membuat sebarang permohonan, bagaimanapun perbicaraan diteruskan kerana tiada perintah daripada mahkamah lain untuk menggantung prosiding itu.

Perbicaraan kemudian diteruskan dengan saksi kelima pendakwaan, Pegawai Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Azrin Abdul Razak daripada Ibu Pejabat JPJ Putrajaya membaca pernyataan saksinya.

Azrin, 46, memberitahu mahkamah bahawa beliau telah menerima permohonan daripada Penguasa Bahagian Siasatan SPRM, Muhammad Afnan Abdullah untuk mendapatkan maklumat kenderaan jenis Toyota Vellfire berwarna putih milik Abdul Azeez bagi membantu siasatan.

"Setelah pihak kami menerima surat ini, saya telah membuat semakan dan carian berkaitan nombor pendaftaran milik Abdul Azeez. Maklumat itu saya telah berikan kepada Muhammad Afnan," katanya.

Saksi itu juga mengesahkan cetakan maklumat JPJ bertajuk 'Maklumat Terperinci Kenderaan dan Insurans' atas penama Abdul Azeez bertarikh 24 April 2019, semasa dirujuk Adam.

Ahli Parlimen Baling itu menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek berkenaan serta sembilan pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan hampir RM140 juta.

ARTIKEL BERKAITAN: Prosiding kes rasuah Azeez Rahim ditangguh

Abdul Azeez tarik balik rayuan permohonan pindah kes

Azeez tak mengaku 12 pertuduhan rasuah, pengubahan wang haram

Pertuduhan rasuah itu didakwa dilakukan di Bank CIMB cawangan Menara UAB, Jalan Tun Perak, di sini pada 8 Dis, 2010, dan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, di Petaling, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Abdul Azeez didakwa melakukan kesalahan itu di Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.

Abangnya Abdul Latif dituduh bersubahat dengan Abdul Azeez yang didakwa menerima RM4 juta daripada Mohammad Redzuan sebagai upah membantu syarikat Menuju Asas Sdn Bhd mendapatkan projek jalan raya secara tender terhad daripada Kementerian Kerja Raya.

Projek itu melibatkan Lebuhraya Persisiran Pantai Baru, kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak) bernilai RM644,480,000.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Petaling, Selangor antara 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Perbicaraan di hadapan Azura bersambung 8 Februari tahun depan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!