Covid-19: 1,220 kes baharu, 3 kematian hari ini

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 1,220 kes baharu positif Covid-19 dan tiga kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 meningkat kepada 89,133 kes.

"Jumlah kes aktif pula adalah 14,671 kes," katanya dalam kenyataannya hari ini.

Menurutnya, daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat enam kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan Covid-19 dalam negara pula adalah 1,214 kes.

Beliau berkata, Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 368 kes (30.2 peratus).

"Daripada jumlah ini, sebanyak 247 kes (67.1 peratus) adalah dari kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang giat dijalankan di lapangan.

"Ini diikuti oleh Kuala Lumpur yang melaporkan sebanyak 297 kes (24.3 peratus) dan Sabah sebanyak 184 kes (15.1 peratus)," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Melaka melaporkan 98 kes daripada kluster sedia ada.

Artikel Berkaitan:

"Pulau Pinang merekodkan 80 kes, Johor (67), Perak (41), Negeri Sembilan (33) dan Labuan 16 kes," katanya.

Sementara itu, Kelantan melaporkan 10 kes baharu, diikuti Kedah dan Sarawak masing-masing merekodkan sembilan kes.

"Pahang mencatatkan empat kes dan Terengganu serta Putrajaya masing-masing merekodkan dua kes," katanya.

Menurutnya, sebanyak 135 kes (11.1 peratus) yang dilaporkan berkaitan kluster-kluster di penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan 98 kes, Kluster Tembok (36), dan Kluster Penjara Seberang Perai satu kes.

Hanya Perlis satu-satunya negeri yang tidak merekodkan kes baharu hari ini.

Sehingga kini, terdapat 106 kes positif sedang dirawat di unit rawatan rapi termasuk 53 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

"Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan tiga kes kematian hari ini menjadikan jumlah kumulatif adalah 432 kes," katanya.

Dalam pada itu, jumlah kes pulih sekali lagi mengatasi kes baharu iaitu 1,297 kes.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 adalah sebanyak 74,030 kes iaitu 83.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.