X

Kindly register in order to view this article
!

Wakaf Air kumpul lebih RM7 juta

Tuan Ibrahim (tengah) menyaksikan pertukaran MoU antara KASA dan YWM pada Majlis Pelancaran Wakaf Air di Putrajaya.
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dengan kerjasama Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) melancarkan Tabung Wakaf Tunai Khas Perkhidmatan Air Malaysia atau ringkasnya Wakaf Air dengan jumlah dana terkumpul lebih RM7 juta.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM5 juta dana disumbangkan Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) manakala RM2 juta lagi daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Menurutnya, baki selebihnya disumbangkan melalui potongan gaji pegawai KASA secara sukarela serta sumbangan orang ramai menerusi kutipan yang dilakukan YWM sejak 4 November lalu.

"Wakaf Air bertujuan menyediakan sumber pembiayaan alternatif projek-projek perkhidmatan air secara mudah, cepat dan mampan melalui instrumen wakaf. Wakaf Air ini merupakan produk wakaf khas yang diwujudkan di bawah Wakaf Tunai YWM.

"Untuk peringkat awal, penggunaan dana Wakaf Air ini adalah bagi membiayai projek perkhidmatan air yang merangkumi sumber air, bekalan air dan pembentungan berskala kecil bernilai di bawah RM50,000," katanya pada Majlis Pelancaran Wakaf Air pada Khamis.

Pengerusi SPAN, Wan Hassan Mohd Ramli (depan, kiri) menyerahkan sumbangan wakaf berjumlah RM2 juta kepada Amir pada Majlis Pelancaran Wakaf Air.
Pengerusi SPAN, Wan Hassan Mohd Ramli (depan, kiri) menyerahkan sumbangan wakaf berjumlah RM2 juta kepada Amir pada Majlis Pelancaran Wakaf Air.

Sebagai tanda kerjasama tersebut, memorandum persefahaman (MoU) antara KASA dan YWM dimeterai antara Ketua Setiausaha KASA, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang dan Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Profesor Madya Dr Amir Shaharuddin.

Pemeteraian itu disaksikan Tuan Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merangkap Pengerusi YWM, Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim memberitahu, tumpuan peringkat awal akan diberikan terhadap projek penyediaan bekalan air bersih di kawasan luar bandar antaranya melibatkan penggalian perigi, pembelian alat ganti, perolehan tangki simpanan air dan sambungan paip dengan punca air.

Menurut beliau, pemilihan projek dan pemantauan pelaksanaan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Teknikal yang dianggotai KASA, YWM, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), SPAN dan lain-lain agensi berkaitan.

Katanya, menerusi Wakaf Air itu, kementeriannya membuka peluang kepada orang ramai, sektor swasta dan mana-mana organisasi untuk berwakaf kerana sumbangan wakaf juga boleh dilakukan secara dalam talian melalui akaun khas Wakaf Air yang ditadbir YWM.

"Kita akan mengenal pasti beberapa projek bagi membantu masyarakat khususnya di kawasan yang agak terpencil untuk mendapat bekalan air.

"Setakat ini kita telah menerima lebih 30 permohonan dari kawasan-kawasan agak terpinggir. Sebahagian permohonan kita terima daripada Semenanjung dan ada juga dari Sarawak dan Sabah.

"Permohonan diterima oleh pelbagai pihak termasuk KPLB sendiri. Kita akan tengok kawasan mana yang perlu diberi keutamaan mengambil kira keadaan yang mendesak," katanya.

Tambah Tuan Ibrahim, projek berkenaan akan mula dilaksanakan secepat mungkin iaitu pada Januari nanti.

Amir (depan, kanan) menerima replika cek berjumlah RM5 juta daripada JPP pada Malis Pelancaran Wakaf Air.
Amir (depan, kanan) menerima replika cek berjumlah RM5 juta daripada JPP pada Malis Pelancaran Wakaf Air.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, penubuhan Wakaf Air itu bukan bermaksud kerajaan atau operator air melepaskan tanggungjawab kepada orang awam dan swasta untuk membina dan menyelenggara infrastruktur air di negara ini.

Menurut beliau, Wakaf Air adalah instrumen pembiayaan alternatif dan pelengkap kepada usaha kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan air yang lebih baik kepada rakyat.

"Kerajaan telah berbelanja besar untuk melestarikan sumber air, bekalan air dan pembetungan sama ada dalam bentuk geran mahupun pinjaman.

"Namun, ia juga mempunyai had tertentu kerana faktor kemampuan kewangan dan fokus tertentu seperti kepada sektor kesihatan, pendidikan dan pertahanan," kata beliau.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!