Rakyat tuntut kebenaran isu saman Sarawak Report

A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Patriot Kebangsaan menegaskan bahawa rakyat Malaysia menuntut kebenaran ke atas penyelesaian di luar mahkamah kes saman presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap editor Sarawak report, Clare Rewcastle-Brown.

Presidennya, Datuk Mohamed Arshad Raji berkata ia tidak bermakna kes itu ditutup.

"Rakyat Malaysia juga menuntut kebenaran ke atas kes ini kerana walaupun ia tidak akan diadili, namun tuduhan Brown bahawa RM90 juta telah dibayar kepada para pemimpin Pas kekal.

“Ini termasuklah rakaman audio Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang bercakap tentang menerima RM2 juta dari Umno, yang telah diajukan sebagai bahan bukti oleh Brown dan tidak dicabar oleh (Abdul) Hadi Awang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamed Arshad berkata rakyat Malaysia ingin mengetahui hakikat sebenar perkara ini kerana wang yang dibayar itu didakwa diperoleh daripada dana 1MDB.

Beliau turut menyeru Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memula siasatan terhadap kes ini dan menyeru sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat untuk memfailkan laporan dengan pihak berkuasa.

"Sekalipun tiada laporan dibuat, pihak polis dan SPRM seharusnya memulakan siasatan sendiri,” katanya.

Abdul Hadi memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi London berikutan artikel ditulis Rewcastle-Brown yang disiarkan Sarawak Report pada 6 Ogos 2016 berhubung jumlah RM90 juta yang didakwa dibayar Umno kepada pemimpin Pas untuk meraih sokongan.

Pada 3 Februari lepas, Abdul Hadi menyelesaikan kes itu di luar mahkamah apabila menarik balik tuntutan terhadap defendan iaitu Brown serta defendan menarik balik tuntutan balas terhadap Abdul Hadi. - Bernama