Banjir: Lelaki OKU termasuk 23 mangsa dipindahkan

Anggota bomba dari BBP Penawar memindahkan 23 mangsa banjir di Kampung Melayu Raya, Pekan Nanas, Pontian ke PPS di balai raya kampung itu malam tadi.
Anggota bomba dari BBP Penawar memindahkan 23 mangsa banjir di Kampung Melayu Raya, Pekan Nanas, Pontian ke PPS di balai raya kampung itu malam tadi.
A
A
A

PONTIAN - Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) antara 23 mangsa banjir di Kampung Melayu Raya, Pekan Nanas di sini yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) malam Isnin lalu.

Lelaki OKU itu bersama-sama keluarga dan mangsa banjir lain dipindahkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar dalam satu operasi bermula pada jam 10.22 malam ke PPS di balai raya kampung tersebut.

Komander Operasi BBP Penawar, Pegawai Bomba Kanan II Izwani Abd Hamid berkata, semua mangsa banjir dipindahkan berikutan paras air naik setinggi kira-kira 1.2 meter.

"Mangsa banjir melibatkan sembilan lelaki dewasa, seorang warga emas, enam wanita dewasa, dua kanak-kanak lelaki, dua kanak-kanak perempuan, dua bayi lelaki dan seorang bayi perempuan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, pihak bomba masih memantau situasi banjir di kampung berkenaan dan operasi memindahkan mangsa selesai pada jam 2.35 pagi hari ini.

Sementara itu, di Bandar Penawar, dekat Kota Tinggi, seramai 25 orang daripada lima keluarga di Kampung Baru Sungai Emas dipindahkan ke PPS di balai raya kampung tersebut akibat banjir kilat kira-kira 1 pagi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kota Tinggi dalam satu kenyataan berkata, kesemua mangsa terdiri daripada enam lelaki, enam wanita, dua lelaki warga emas, enam kanak-kanak lelaki, tiga kanak-kanak perempuan serta dua bayi lelaki.

"Hujan berterusan selama lebih kurang tiga atau empat jam, mengakibatkan banjir kilat dan paras air sungai berdekatan naik kira-kira 1.2 meter," menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan: