X

Kindly register in order to view this article
!

Pembangkang berjuang habis-habisan tolak Belanjawan 2021

Mahfuz, Khaled dan Fahmi
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen pembangkang terus kekal dengan pendirian untuk berjuang berhabis-habisan menolak Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 pada undian bacaan kali ketiga pada bila-bila masa petang ini.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, keputusan itu dibuat kerana Belanjawan 2021 disifatkan amat lemah kerana tidak langsung memenuhi tuntutan rakyat dalam situasi negara berdepan dengan pandemik Covid-19.

"Sudah pasti akan ada undi belah bahagi, lagipun belanjawan yang dibentang ini, kita tidak nampak untuk selesaikan masalah dan membantu penjanaan ekonomi.

"Kita mahukan satu belanjawan yang lebih menyeluruh untuk pastikan lonjakan ekonomi agar lebih baik untuk rakyat," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Kerajaan terutama Perdana Menteri boleh hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat jika RUU Belanjawan 2021 peringkat bacaan kali ketiga ditolak hari ini.

Apa pun, kerajaan mempunyai pilihan sama ada untuk meneruskan bacaan kali ketiga pada hari ini atau ditangguhkan esok.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad pula menegaskan, selain belanjawan yang tidak mendatangkan manfaat sepenuhnya kepada rakyat, beliau melihat sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menerajui Perikatan Nasional adalah amat lemah.

Ini terbukti katanya, undian pada peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri hanya mendapat 105 undi daripada semua ahli Parlimen berbanding kementerian lain.

"Beliau (Muhyiddin) tidak ada sokongan kukuh dan undian dalam semua kementerian termasuk Jabatan Perdana Menteri yang tidak cukup sokongan majoriti.

"Maka seruan yang dibuat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan veteran UMNO, Tengku Razaleigh Tengku Mohd Hamzah semalam perlu diambil peduli oleh semua ahli Parlimen kerana ini merupakan peluang keemasan untuk pembangkang.

"Walaupun mereka kata kita (pembangkang) tidak ada sokongan majoriti tetapi mereka pun tiada majoriti. Kerajaan hari ini teramat lemah dan inilah yang kita lihat, hasil perbuatan khianat sebelum ini kerana ia merosakkan negara dan pelabur juga tidak mahu melabur dalam negara kita," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, beliau kecewa dengan peruntukan belanjawan bagi Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi kerana tidak jelas hala tujunya berbanding keperluan sebenar yang diperlukan oleh rakyat dalam aspek pendidikan.

"Sepatutnya perancangan lebih jelas untuk atasi masalah bagi pelajar-pelajar sekolah dan penuntut di universiti. Bagaimanapun semua itu kita tidak nampak.

"Ini merupakan perkara yang sangat kritikal dan kita tegaskan di sini dengan secara sepakat akan terus menolak bajet kali ini," katanya.

Pada Isnin, Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh membayangkan kerajaan PN bakal hilang majoriti melalui undian Belanjawan 2021 hari ini.

Berikutan itu, kedua-dua mereka buat pertama kali secara terbuka menyatakan kesepakatan untuk bekerjasama membantu menerajui kerajaan baharu.

Dr Mahathir berkata, beliau bekerjasama dengan Tengku Razaleigh atau Ku Li bagi memulihkan semula keadaan negara yang kini disifatkan telah lari daripada landasan sebenar.

Menurutnya, beliau dan Ku Li sedia membantu kerajaan baharu yang ditubuhkan bagi menjadikan Malaysia sebagai negara yang berdaya maju.

end....


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!